Laman Utama
Sukan Terjun Sumbang Dua Pingat Emas Buat Negara, Dhabitah Pamer Aksi Cemerlang!
Persembahan cemerlang atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam saingan final acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita menghadiahkan Malaysia pingat emas pertama Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Ahad.
Ia juga adalah acara yang menawarkan pingat emas pertama sebelum upacara pembukaan rasmi yang dijadual berlangsung Khamis ini.
Nur Dhabitah yang telah memenangi empat pingat emas sepanjang penyertaannya di temasya sukan dwitahunan itu, berjaya menambah koleksi emasnya selepas mengumpul 290.45 mata dalam lima terjunan.
Turut sama mempamerkan terjunan handal adalah pasangan penerjun negara Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei yang menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia.
Pasangan tersebut mengungguli final acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Pusat Akuatik My Dinh pada Ahad.
Kejayaan itu menyaksikan Yi Wei-Tze Liang berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.
Edisi Hanoi 2021 dijadual bermula dari 12 hingga 23 Mei ini dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal.
Sumber: Bernama
Kredit foto: Utusan