Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Sultan Johor Murka Mersing Kotor, Tempat Awam Penuh Sampah Sarap

Mya Amri 31/12/2020 | 05:53 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.
Perkara itu dikongsi baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 29 Disember.
Baginda bertitah, Mersing yang merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Baginda menegaskan, sekiranya tabiat ini berterusan, ia akan memberi kesan negatif kepada aspek kesihatan awam.
"Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing? Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah.
"Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang? Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor," titah baginda.
Titah Baginda Tuanku Sultan, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani telah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada tahun 2018.
“Mersing mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan, dan ia juga pintu utama untuk ke pulau-pulau pelancongan sekitar.
“Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing, tetapi rakyat juga perlu mainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah Baginda.

SULTAN IBRAHIM MURKA ISU KEBERSIHAN DI MERSING DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka...

Posted by Sultan Ibrahim Sultan Iskandar on Monday, 28 December 2020
Baginda Tuanku Sultan turut bertitah mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin.
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
;