Laman Utama
Sultan Muhammad V Titah Jangan Rentas Negeri, Ramai Mula Balik Ke Kelantan Hari Ini!
Polis mengesan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jeli hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, peningkatan peratusan kemasukan kenderaan di SJR itu dikesan berlaku bermula pagi tadi sehingga pukul 12 tengah hari.
Katanya, bagaimanapun, dua SJR di Pasir Puteh yang menjadi pintu masuk dari Terengganu dan Gua Musang untuk perantau dari ibu negara dilihat tiada berlaku peningkatan kemasukan kenderaan setakat ini.
“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan di sekitar kawasan Kota Bharu juga meningkat sebanyak 15 peratus pada hari ini berbanding sebelumnya.
“Peningkatan kenderaan di Kota Bharu juga berkemungkinan orang ramai keluar untuk membeli barangan keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Menurut Abdullah, pemerhatian polis turut mendapati, peningkatan kenderaan yang berada di atas jalan raya di daerah Tumpat dan Machang juga meningkat lima peratus pada hari ini.
Sehubungan itu, Abdullah turut menasihatkan perantau yang pulang ke Kelantan agar menyediakan dokumen yang lengkap dengan alasan kukuh supaya tidak menimbulkan masalah ketika mereka tiba di SJR untuk ke negeri ini.
Bagaimanapun, kita tidak menggalakkan perantau mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ketika ini.
“Seeloknya, semua perantau tidak pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Sultan Muhammad V menitahkan supaya rakyat Kelantan kekal mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berjalan dan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka sebaliknya ini adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.
"Apabila kita tidak berjumpa dengan mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus COVID-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.
"Dengan kes positif di negeri Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial, dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus COVID-19," menurutnya lapor Awani.
Sumber: Kosmo Online & Awani