Laman Utama
Sultan Selangor Berkenan Terima Giliran Vaksin Selepas Petugas Barisan Hadapan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin COVID-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan itu.
Menerusi satu hantaran terbaharu di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa keutamaan pemberian vaksin COVID-19 ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan, berikutan mereka berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.
Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, Baginda sendiri akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih 1 meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar.
Apa yang penting, Baginda berkenan menasihatkan sekalian rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia am-nya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.
Baginda mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti-vaksin.
26 Februari 2021 ~ KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj...
Posted by Selangor Royal Office on Friday, 26 February 2021
Titah Baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Namun demikian, meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, Baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya.
Sumber / Foto: Facebook Selangor Royal Office
#Sultan Selangor
#Vaksin
#COVID-19
#Frontliners
#Petugas Barisan Hadapan
#DYMM Sultan Selangor
#Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah