Laman Utama

Sultan Selangor Titah Rakyat Yang Sudah Lengkap Dos Vaksin Tidak Berasa Diri Kebal

Gempak
23/08/2021
10:20 MYT
Sponsor Banner
Sultan Selangor Titah Rakyat Yang Sudah Lengkap Dos Vaksin Tidak Berasa Diri Kebal
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 agar tidak mengambil mudah dan berasakan diri mereka kebal daripada jangkitan wabak itu.
Justeru, baginda menyeru agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menjalani kehidupan norma baharu bagi membantu kerajaan menangani wabak COVID-19.
"Amalkan pemakaian pelitup muka apabila keluar rumah dan pastikan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.
Sultan Selangor juga berharap rakyat negeri ini memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh KKM.
"Ahli-ahli Yang Berhormat semua perlu memainkan peranan untuk menasihati rakyat agar segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 supaya Selangor boleh mencapai imuniti kelompok pada tarikh yang disasarkan," titah baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara khususnya di Selangor dan berasa amat sedih serta dukacita melihat setiap hari negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian COVID-19 paling tinggi di Malaysia. "Beta tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit COVID-19 ini," titah baginda.
Namun pada hemat baginda, peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat COVID-19 berlaku disebabkan kelalaian terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara.
"Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah meninggal dunia akibat COVID-19 tidak dapat dikembalikan. Apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita melangkah ke hadapan dengan penuh positif dan mengharapkan kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak diulangi semula," titah baginda.
Sumber: BERNAMA Kredit Foto: Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar