Laman Utama
Suspek Kelar Isteri & Anak Usia 44 Hari Dipercayai Alami Tekanan & Desakan Hidup
Berita seorang lelaki mengelar leher isterinya dan bayi mereka yang berlaku di Johor Bahru semalam cukup menggemparkan negara. Ramai bersimpati dengan insiden sadis yang terjadi.
Apalagi mangsa, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir baru berusia 44 hari.
Tidak cukup dengan melakukan tindakan kejam tersebut, suspek kemudian dilihat orang awam menaiki sebuah motor sambil berbogel, sekali gus videonya juga menjadi tular.
Suspek berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis pada hari yang sama.
Sejak berita menyayat hati tersebut tersebar, pelbagai teori dan ‘kisah’ yang dikongsikan netizen dalam laman sosial.
Kebanyakan yang mengaku mengenali suspek dan mangsa tidak menyangka hal tersebut terjadi lantaran kedua duanya disifatkan sebagai individu yang baik.
Pada saat banyak pihak membuat pelbagai andaian, Sinar Harian melaporkan tekanan dan desakan hidup dipercayai mendorong suspek mengelar leher insan kesayangannya di kediaman mereka di Bakar Batu sekitar pukul 12 tengahari itu.
Dia juga dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas berhenti kerja baru baru ini.
Media semalam melaporkan mangsa anak beranak ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah teres yang didiami.
Seperti mana ibu bapa dan keluarga mentua terkejut dengan berita sadis tersebut, akhbar sama melaporkan adik suspek, Aiman Adam, 18, menyifatkan abangnya sebagai seorang yang tenang.
“Abang (suspek) bukan jenis pemarah, dia baik-baik sahaja dan saya tidak pernah dengar mereka ada sebarang masalah dalam perkahwinan," katanya.
Pasangan muda tersebut juga dilaporkan akan bersanding pada 24 Julai ini selepas bernikah dalam suasana pandemik COVID 19.