Hiburan
“Suspen, Epik & Mantap” - Drama Thriller Penyiasatan The Bridge Kembali Dengan Musim Kedua
Drama bergenre thriller penyiasatan The Bridge akan menemui penonton dengan musim kedua bermula hari ini.
Siri kali ini menampilkan tiga nama besar dari Malaysia, Indonesia dan Singapura iaitu Bront Palarae, Ario Bayu dan Rebecca Lim sebagai bintang utama.
Diadaptasi daripada siri original Endemol Shine dengan suntikan elemen tempatan, drama memdebarkan ini merupakan arahan TJ Lee, Jason Chom dan Zahir Omar.
Menurut Bront Palarae, kehadiran Wan Hanafi Su dan Chew Kin Wah ibarat memberi nafas baru pada musim kedua.
“Musim kedua ini lebih mendebarkan dan watak saya sebagai Megat seperti diberikan kehidupan baru.
“Kehadiran Wan Hanafi Su dan Chew Kin Wah pula seperti nafas baru dalam musim kedua ini.
“Apa yang boleh saya katakan, musim kedua ini lebih berani, baik dan besar,” ujar Bront ketika sidang media virtual pelancaran The Bridge musim kedua sebentar tadi.
Antara pelakon lain yang turut membintangi The Bridge 2 adalah Wan Hanafi Su, Fikry Ibrahim, Chew Kin Wah dari Malaysia, Lukman Sardi, Amanda Manopo, Miller Khan dari Indonesia, Joseph Marco dari Filipina dan ramai lagi.
The Bridge 2 mengisahkan kapal layar yang didaftarkan di Singapura hanyut di persisiran negeri Johor dengan mayat sebuah keluarga warga Indonesia di atas kapal tersebut.
Hasil dari penyiasatan pembunuhan bersiri yang terdapat di dalam siri ini, watak-watak dalam kisah ini terperangkap dalam pengkhianatan, tipu muslihat dan tragedi peribadi.
Musim kedua ini turut dipenuhi dengan elemen rasuah, dendam dan dunia gelap.
Tonton The Brigde musim kedua bermula malam ini di saluran Viu, HBO Go dan HBO seluruh Asia pada jam 9 malam (waktu tempatan).