Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

SYA Tampil Dengan Single Sulung, PrettyGirlBop Bersama Yung Raja!

Asraf Aided 16/12/2020 | 10:25 MYT
Tuah pendatang baru penyanyi rap wanita pertama Def Jam Asia Tenggara, SYA seakan datang bergolek-golek! Manakan tidak, apabila single pertamanya berjudul PrettyGirlBop, mendapat sentuhan penerbit terkenal SonaOne, suatu nama yang tidak asing bagi khalayak peminat hip-hop mahupun peminat industri hiburan tanahair.
Seakan bulan jatuh ke riba, lagu yang pada asalnya dicipta untuk SYA kemudiannya turut digandingkan dengan bintang rap popular Singapura, Yung Raja untuk melengkapkan ramuan single pertama anak kelahiran Ampang ini menjadi sempurna.
Menurut SYA, dia gementar dan pada masa sama, berasa amat teruja apabila diberikan peluang bergandingan bersama dua nama besar hip-hop Asia Tenggara itu. Tanpa berselindung, SYA akui menyimpan hasrat bekerjasama dengan kedua-dua figura hebat tersebut.
“Proses pembikinan lagu PrettyGirlBop ini terjadi dengan cukup pantas, SonaOne mencipta irama dan melodi dalam masa hanya lima belas minit saja.
"Sebaik sahaja saya terima irama tersebut, saya terus karangkan lirik yang terilham secara spontan, tidak beberapa lama selepas itu, nah.. PrettyGirlBop pun terhasil,” katanya ringkas.
Kata SYA, idea untuk penglibatan Yung Raja dalam lagu tersebut juga datang secara spontan.
“Menariknya sedang kami asyik mencari ilham dan proses penstrukturan rangkap dalam lagu, kebetulan Yung Raja membuat panggilan video kepada SonaOne yang secara tidak langsung memberi tambahan idea dalam pembikinan single pertama saya ini.
"Ketika itu kami mencari apakah ‘hook’ yang mengancam dalam lagu dan Yung Raja ada formulanya.
"Apabila Yung Raja menyatakan persetujuan untuk turut serta menyumbangkan rangkap-rangkap rap dalam lagu PrettyGirlBop, besar hati saya apabila dapat bergabung dengan seorang penyanyi rap berbakat besar sepertinya,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, SYA mengatakan lagu tersebut didedikasikan untuk memperkasakan semangat kaum hawa ketika pandemik dan ibu sebagai sumber inspirasi.
“Seluruh negara berada dalam keadaan sukar ketika wabak pandemik melanda, lebih-lebih lagi golongan wanita berdikari dan berusaha sekuatnya demi kelangsungan hidup seharian. Ketika lagu ini ditulis, saya meletakkan keseluruhan emosi dan jiwa di kemuncak,” bicaranya lanjut.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk memberi inspirasi golongan wanita di luar sana tidak kiralah apa bidang sekalipun yang mereka ceburi untuk terus bangkit dan cekal mengharungi segala rintangan dalam kehidupan.
"Dek kerana motivasi itu, saya akan memastikan sebagai penyanyi rap wanita, saya akan terus berusaha dan kekal relevan setanding dengan penyanyi rap yang didominasi golongan lelaki pada hari ini, mudah-mudahan," ujarnya bersemangat.
Lagu PrettyGirlBop telah berada di pasaran digital pada 11 Disember 2020 menerusi Apple Music, Spotify, Deezer, Joox, KKBOX dan iTunes diikuti video muziknya di YouTube.
#Def Jam #SYA #PrettyGirlBop
;