Laman Utama
Syafie Naswip Nekad Jual Trofi FFM25, Inisiatif Bantu Orang Susah - "Mana Tahu Ada Orang Yang Nak Bid RM25,000"
Pelakon Syafie Naswip, 29, nekad untuk menjual Trofi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) bagi membantu golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Akui sebak untuk melepaskan, Syafie atau nama sebenarnya Mohd Shafie Naswip berharap ada individu yang akan membeli dengan jumlah yang tinggi supaya membolehkan dia menolong ramai orang.
"Saya dah pernah rasa zaman itu, sekarang kita kongsi dengan orang yang betul-betul memerlukan. Saya sayang kerja-kerja saya jadi of course ada rasa sebak.
"Trofi itu adalah salah satu cara saya untuk dapat wang yang banyak. Mana tahu ada orang yang nak bid, mungkin RM10,000 atau RM25,000.
"Saya pegang dengan kata orang, kalau kita sayang satu benda, kita bagi pada orang lain.
"Kalau kita ada harta tapi tak boleh nak gunakan harta kita untuk orang lain, dia akan jadi sia-sia bagi saya. Jadi selagi boleh digunakan untuk membantu orang, kita cuba," katanya ketika dihubungi Gempak.
Pada tahun 2013, Syafie telah memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Songlap.
Selain itu, menurut pelakon berbakat besar ini, idea untuk menjual barang preloved di media sosial datang selepas dia dihujani dengan mesej individu yang meminta bantuan kewangan di Instagram (IG).
"Ramai yang minta bantuan dari segi duit tapi nak bagi sekarang ini dah ramai yang scam. Nak bagi duit sendiri, kita tak tau bila PKP akan berakhir. Kalau setakat seorang dua saya mampu lagi.
"Itu yang saya come out dengan jual preloved bersama rakan-rakan artis yang lain. Duit hasil jualan memang kami tak ambil walau sesen.. semuanya akan digunakan untuk orang memerlukan.
"Kita akan gunakan untuk beli keperluan makanan dan pampers. Tapi kita ikut juga apa yang mereka perlukan. Semua duit jualan dan kutipan memang akan disalurkan ke tempat yang betul.
"Untuk hasil jualan baju saya malam tadi dah dapat dalam RM600. Tapi masih ada WhatsApp yang belum kami balas. Duit derma yang kami terima akan dikongsikan di Instagram nanti," katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Budak Tebing 2 menyatakan jika tidak ada halangan dia sendiri akan turun padang untuk menghantar bantuan.
"Saya kalau boleh nak pergi hantar bantuan sendiri. Tapi kalau tak dibenarkan, kena guna alternatif lain dengan tempah Grab dan LalaMove untuk hantar barang mereka.
"Itu sahaja cara yang saya boleh buat dengan menggunakan platform saya. Sebagai pelakon yang ada followers tersendiri, gunakannya ke arah yang baik dan bermanfaat. Kalau kita tak tolong negara kita, nobody cares," katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi nombor ini, 016-9205114.
Semalam, Syafie telah menjual pakaian miliknya bermula dengan harga RM10 sehingga RM50.
Sesi jualan amal itu telah dibuat secara langsung di IG dengan disertai barisan selebriti lain antaranya Erynne Erynna, Izzy Zulkhazreefa dan Amelia Thripura Henderson.