Gaya Hidup
Syarikat Penerbangan Tambang Murah Ini Akan Kembali Terbang Ke Eropah!
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dijangka akan terbang semula ke Eropah menjelang akhir tahun ini atau awal tahun 2020.
Memetik laporan Astro Awani, laluan itu akan dikendalikan oleh AirAsia Thailand dan akan terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.
“Ya, kami akan terbang semula ke Eropah dan laluan itu akan dikendalikan oleh AirAsia Thailand.
“Perbincangan masih dijalankan dan kami memilih Bangkok untuk laluan Eropah kerana kemudahan infrastruktur di sini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Bagaimanapun, Tony enggan mengulas lebih lanjut mengenai destinasi pertama laluan ke Eropah terbabit.
Menurut beliau lagi, destinasi masih belum ditetapkan dan pihaknya memilih Bangkok untuk laluan ke Eropah berikutan kos yang berpatutan.
Terdahulu, AirAsia pernah terbang ke London sebelum menghentikan laluan tersebut pada 2012.