Hiburan
"Tak Ada Siapa Nak Main Dengan Saya" - Saharul Ridzwan Kaget Anak Sulung Mula 'Rebel'
Pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Luth Ali meragam selepas kurang mendapat perhatian dan layanan.
Menurut Saharul, 31, dia terlampau sibuk manakala isterinya, Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir berada dalam keadaan tidak sihat.
"Saja perkongsian untuk ibu bapa tentang 'Parenting'. Semoga kita boleh berkongsi pengalaman masing-masing.
"Anak anak ada perasaan, dan selalunya perasaan itu diluahkan melalui perbuatan. Hari ni macam sibuk sikit, jadi bila balik saya rasa penat, masuk bilik, rehat, lepas tu dodoikan Fateema untuk tidur.
"Deena macam tak sihat sikit, Ali kami tinggalkan kat ruang tamu dengan 'aunties' dia. Tiba- tiba Ali masuk bilik merengek, baling-baling mainan lepas tu masuk bilik cakap, saya nak tonton King Kong sambil pegang mainan.
"Lepas tu menangis dekat lantai. Saya bagi Fateema pada Deena, saya angkat Ali dengan niat nak marah pada mulanya, kemudian saya tanya soalan yang selalu saya tanya," kongsi Saharul.
Pemilik nama Mohd Saharul Ridzwan Hashim akui tersentap selepas mendengar luahan Ali yang hanya menginginkan teman untuk bermain.
"Kenapa menangis? Awak dah besar. Awak tidak boleh menangis seperti bayi. Banyak kali saya tanya dan akhirnya dia cakap, tidak ada yang mahu bermain dengan saya. Saya mahu bermain.
"Allah, sedihnya dengar. Makin tersedu-sedu dia nangis. Saya peluk dia, cakap jom keluar dengan baba, jalan jalan naik kereta. Seronok dia," kongsinya di Instagram (IG).
Sementara itu, pelakon drama Selafaz Cinta akui Ali memberontak disebabkan kesilapan dirinya yang kurang meluangkan masa bersama.
"Kadang-kadang kita terlepas pandang tentang masa untuk anak-anak kita. Kadang-kadang kita fikir yang anak-anak buat perangai sebab degil, taknak dengar cakap.
"Tapi sebenarnya salah kita. Kita kurang peka dengan anak-anak kita. Mungkin kita penat. Mungkin kita stress pasal kerja, sampai kita tak nampak kesalahan kita sendiri. Kita salahkan perangai anak kita.
"Maaf. Baba janji cuba jadi baba yang terbaik untuk Ali dan Fateema," kongsinya lagi.
Saharul dan Qaabila berkahwin pada 16 September 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Luth Ali, dua tahun dan Fateema Azzahra yang baru berusia tiga bulan.