Hiburan

“Tak Dapat Nak Gambarkan Gembiranya Hati Seorang Ayah…” - Fizi Ali Syukur Dapat Jumpa Anak Lepas Dua Bulan, Siap Bawa Jalan-Jalan

Mya Amri
05/03/2024
03:55 MYT
Sponsor Banner
“Tak Dapat Nak Gambarkan Gembiranya Hati Seorang Ayah…” - Fizi Ali Syukur Dapat Jumpa Anak Lepas Dua Bulan, Siap Bawa Jalan-Jalan
Penyampai radio, Fizi Ali melahirkan rasa syukur dan gembira dapat bertemu kembali dengan anak perempuannya, Ameena Sofia setelah hampir tiga bulan berjauhan.
Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimuddin berkata, Ameena juga kelihatan teruja ketika dijemput pulang daripada sekolah.
“Saya tak dapat nak gambarkan betapa gembiranya hati seorang ayah bila dapat bertemu dengan anak setelah sekian lama. Kali terakhir saya jumpa dengan Ameena pada bulan Disember lalu.
“Bila saya datang ke sekolah Ameena, dia berlari daripada atas sambil dipegang oleh guru. Dia terlampau teruja dan terus menjerit ‘daddy’.
“Saya juga sangat gembira. Syukur Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui Gempak.
Fizi berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Tambah Fizi lagi, sepanjang mereka bersama, dia hanya mengikutkan sahaja segala kehendak anak kesayangannya itu selain banyak meluangkan masa bersama.
“Saya ambil Ameena bermula pada Jumaat dan Isnin saya akan hantar semula ke ibu dia.
“Aktiviti daripada pagi sampai ke malam, kami banyak berjalan-jalan dan saya ikutkan sahaja apa yang dia mahukan.
“Nak makan ais krim, saya bawa. Nak ke tempat sejuk pun, saya ikut sahaja dan bawak ke ICT, Shah Alam,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada Ameena ada meluahkan rasa rindu terhadap ayahnya, Fizi mendedahkan wajah sayu anaknya itu jelas kelihatan ketika mereka bersama.
“Ameena merupa anak kecil tidak terlalu bercakap mengenai perasaannya. Namun, ia jelas terpancar di riak wajahnya.
“Dia sukar nak menangis tapi bila nampak air mata bergenang, saya tahu dia memang rindu. Saya pun ada perasaan sama seperti itu,” ujarnya.
Terdahulu, pada 22 Februari lalu, Fizi tidak dapat menahan air mata gembira apabila akhirnya diberikan peluang untuk bertemu dan membawa anak perempuannya tinggal bersama selama empat hari, bermula pada 1 Mac 2024.
Keputusan tersebut merupakan hasil budi bicara antara pihaknya selaku plaintif dan defendan iaitu bekas isterinya, Shakilla Khoriri.
Sebelum ini, Fizi memfailkan tuntutan hadanah kekal itu pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla, 35, sebagai defendan.
Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.
Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan perceraian pada Disember 2021.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar