Laman Utama

“Tak Kan Saya Nak Sangkal Juri” - Hael Husaini Kecewa Netizen Pertikai Lagunya Layak Ke AJL

Azwa Rahman
22/12/2020
23:15 MYT
Sponsor Banner
“Tak Kan Saya Nak Sangkal Juri” - Hael Husaini Kecewa Netizen Pertikai Lagunya Layak Ke AJL
Penyanyi Hael Husaini meluahkan rasa kecewanya apabila ada pihak yang melontarkan pelbagai tohmahan yang tidak berasas mengapa tiga lagunya terpilih ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).
Menerusi tinjauan Gempak di laman sosial, ada wargamaya yang menggunakan tanda pagar #AJLHAEL dan melemparkan tuduhan dia merupakan anak emas stesen TV.
“Sejujurnya saya rasa kecewa dengan pelbagai kecaman dan tohmahan yang tidak berasas daripada netizen mengenai tiga lagu saya layak ke AJL.
“Saya tidak tahu berapa kali saya perlu ulas perkara ni, ini semua adalah rezeki dan saya terpaksa akur dengan penjurian yang telah dilakukan oleh juri-juri profesional.
“Tak kan saya nak sangkal mereka pulak atau memberikan kata-kata yang tak patut. Saya sangat bersyukur apabila dapat mara je AJL35 sebab pada saya, 30 lagu yang bertanding di separuh akhir itu rata-ratanya adalah sahabat saya. Saya selalu mendoakan supaya mereka dapat merasa apa yang saya rasa,” ujar Hael kepada Gempak.
Hael ditemui ketika Majlis Pelancaran lagu Lara bersama Haqiem Rusli di The Chow Kit Ormond Hotel, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Tambah Hael lagi, dia hanya menyampaikan lagu-lagunya dan karyanya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain untuk dipertandingkan pada pentas berprestij itu.
“Saya hanya menyampaikan lagu saya sebagai penyanyi, menyanyikan karya-karya saya. Itu adalah kerja saya dan saya melakukan kerja saya,” jelasnya lagi.
Pada saringan terakhir yang diadakan pada minggu lalu, 12 lagu layak ke AJL35 dan tiga daripadanya merupakan ciptaan Hael sendiri iaitu lagu Peluang Kedua, Hati dan Belenggu Rindu nyanyian duet Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar