Hiburan
Tak Kisah Kalau Ada Yang Kata Saya Tiru Arwah Abang- Tajul
Penyanyi Tajul akui tidak kisah jika dirinya dikatakan meniru gaya arwah abangnya, Achik Spin.
Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari, 19, berkata dia tidak dapat menghalang masyarakat untuk menilai kerana persepsi setiap orang adalah berbeza.
"Benda itu tidak boleh dihalang, lagipun memang arwah adalah abang saya.
"Saya tak kisah kalau ada yang kata penampilan atau gaya nyanyian saya seakan-akan meniru arwah abang.
"Pendapat setiap orang berbeza, kami adik beradik jadi perbandingan seperti itu memang tak boleh nak elak.
"Saya dah anggap benda itu sebagai perkara biasa sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai lagu popularnya Sedalam Dalam Rindu, Tajul akui terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.
"Secara jujurnya saya sendiri pun tak sangka lagu itu akan popular.
"Rasa sangat bersyukur kerana mereka menerima saya sebagai pendatang baru dalam dunia hiburan.
"Inilah yang dikatakan rezeki dan saya juga tak pernah terfikir boleh sampai ke tahap seperti ini," ujarnya.
Teks oleh: Mya Amri