“Tak Mahu Berulang”- Netizen Risau Dua Varian COVID Dikesan, Rayu Tutup Sempadan Untuk Pelancong China Sementara Waktu, Khuatir Merebak
Netizen meluahkan kebimbangan selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan terdapat dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan varian BF.7 dikesan berada di Malaysia.
Tidak mahu tragedi lockdown kembali berulang, rata-rata netizen menggesa agar kerajaan segera mengambil tindakan pencegahan lebih ketat.
Salah satu cadangan yang dikemukakan netizen adalah dengan menyekat atau menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian Covid-19 di negara berkenaan menurun.
Selain itu, netizen juga berharap kerajaan dapat mengambil iktibar daripada gelombang pertama COVID-19 yang pernah melanda negara sebelum ini.
Antara komen yang diberikan di media sosial adalah:
“Patutnya sekat pelancong dari negara berisiko. Patut kita belajar dari pengalaman dulu. COVID pun dah cukup menyeksakan rakyat dan ramai masih cuba bangkit dari kejatuhan. Kini varian baru pula. Kan lebih elok mencegah dari mengubati.”
“Kalau tak kawal kemasukan rakyat China dari awal... Tak mustahil Malaysia akan kembali lockdown. Kesian barisan hadapan nanti…”
“Tologlah sekat dulu pelancong China buat sementara…. Takkan nak biar berulang lagi macam dulu,”
Terdahulu, China kini dilaporkan bergelut dengan kehadiran subvarian Omicron, BF.7 yang dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan Covid-19 di negara itu.
Ia sekali gus mendorong banyak negara, termasuk Malaysia untuk memeriksa suhu badan pelancong yang memasuki pintu sempadan masing-masing.