Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Tak Perlu Jauh-Jauh, Rupanya Selangor Pun Best! Ini 10 Lokasi ‘Hidden Gem’ Anda Wajib Kunjung!

Hanafis Haris 16/09/2020 | 09:39 MYT
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan oleh kerajaan, pastinya orang ramai tercari-cari lokasi menarik untuk dilawati.

Antara yang selalu jadi tumpuan setiap minggu sudah tentulah Melaka, Ipoh serta Pulau Pinang.

Namun, tahukah anda Selangor sebenarnya mempunyai pebagai lokasi ‘hidden gem’ yang berbaloi untuk dilawati?​

Berikut merupakan senarai tempat pelancongan sekitar Negeri Selangor yang boleh dikunjungi.

1) ISTANA BANDAR JUGRA, KUALA LANGAT

Pada asalnya Istana Bandar ini merupakan pusat pemerintahan kerajaan Selangor sejak lebih dari 100 tahun.

Hampir kesemua struktur istana diperbuat daripada batu bata dan kapur manakala pintu dan tangga pula diperbuat daripada kayu cengal.

Reka bentuk bangunan adalah dari seni bina tempatan dan kolonial British.

Kemasukan ke Istana Bandar adalah percuma dan ianya dibuka pada setiap hari.

2) BUKIT MALAWATI, KUALA SELANGOR

Bukit Malawati merupakan Ibu Pejabat perang dan Kubu Kerajaan Kesultanan Selangor sejak abad ke-18 di mana pernah terjadinya pergaduhan antara Belanda, Johor dan Riau.

Perjalanan mengambil masa selama 1 jam dari Shah Alam untuk sampai ke Bukit Malawati.

Anda dapat menikmati pemandangan yang menyenangkan merangkumi seluruh Daerah Kuala Selangor pada waktu matahari terbit dan terbenam.

Selain itu, Bukit Malawati juga dipenuhi dengan monyet ‘Silver Leafed’ yang mesra di mana pengunjung boleh memberi makanan kepada mereka.

Terdapat juga kemudahan trem disediakan kepada pengunjung yang melawat pada hari minggu.

Masuk adalah percuma dan bayaran dikenakan untuk menaiki trem di Bukit Malawati hanya RM3 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak kanak (3-12 tahun).

Waktu operasi perkhidmatan trem dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.

3) BUKIT BELANDA, KUALA SELANGOR

Dikenali sebagai Kota Ultrech sempena nama rasmi kapal Belanda semasa zaman penaklukan Belanda yang telah menewaskan Raja Haji Fisabilillah di Teluk Ketapang.

Bukit ini juga merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama dan strategik kerana tempatnya yang tinggi dan mudah untuk melihat musuh dari jauh.

Pengunjung juga boleh singgah dan melawati Bukit Belanda untuk bergambar dan melihat suasana nostalgia suatu ketika dahulu.

4) BANDAR DIRAJA KLANG, KLANG

Dikenali sebagai salah satu bandar tertua di Malaysia, Klang kaya dengan sejarah, tradisi dan adat istiadat.

Bandar ini bermula di tebing selatan Sungai Klang, yang terkenal di seluruh dunia dalam penghasilan bijih timah seawal abad ke-15.

Klang menjadi ibu kota kerajaan sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur

Untuk makluman, Tourism Selangor menyediakan pengalaman lawatan ke seluruh Bandar Klang dengan Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour.

Pelbagai keunikan dan keistimewaan boleh dirasai seperti menikmati kecantikan senibina bangunan bersejarah, menyelusuri premis perkhidmatan menilik nasib, lukisan, tekstil penenunan masyarakat India, dan pelbagai lagi.

Selain itu, pengunjung juga boleh membeli buah tangan di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana atau dinamakan Jalan Little India.

5) PANTAI MORIB, KUALA LANGAT

Pantai yang panjangnya sejauh 3km menghadap Selat Melaka, merupakan sebuah tapak yang bersejarah penting sewaktu ketika dahulu.

Pada tahun 1945, pantai ini merupakan simbol bagi tempat kedatangan tentera Inggeris ketika Perang Dunia Kedua untuk merampas Tanah Melayu dan menjadi tempat pertahanan daripada serangan Jepun sekali gus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini.

Sekarang, dengan mengambil masa 1 jam dari Kuala Lumpur, pantai ini telah menjadi tempat rekreasi untuk pengunjung bersantai, melakukan aktiviti riadah, berkhemah dan sebagainya.

6) BANDAR KAJANG, HULU LANGAT

Pada zaman dahulu, Kajang merupakan kawasan penempatan suku kaum Temuan sejak tahun 1709.

Batin Seri Alam merupakan seorang ketua yang berpusat di Kajang sebelum kuasanya ditundukkan oleh kuasa Sultan Johor kerana berada dibawah jajahan Johor ketika itu.

Berhampiran dengan Sungai Langat, Bandar Kajang ini telah membangun dengan jayanya.

Sungai Langat sangat penting kerana ia laluan utama dagangan dan pengangkutan hasil lombong bijih timah dan getah ke luar negara seperti ke negara Britain.

Selain itu, Kajang juga terkenal dengan makanan Satay Kajang yang digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

7) KUALA KUBU BHARU, HULU SELANGOR

Kuala Kubu Bharu asalnya dikenali sebagai Kuala Kubu yang ditempatkan di bawah Pentadbiran Residen-Residen British antara yang terawal iaitu Presiden Frank Swettenham bersama J.P Rodger dan Edward Maxwell.

Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang ketika itu.

Disebabkan banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan Pusat Pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.

Kuala Kubu juga pernah menjadi pintu utama bagi menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Kini, Kuala Kubu Bharu menawarkan aktiviti eko-pelancongan bagi penggemar aktiviti ekstrem seperti paragliding, white water rafting dan juga water tubing.

8) KOTA RAJA MAHADI, KLANG

Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja Mahadi ini dibina oleh Raja Mahadi Raja Sulaiman ketika kemuncak peperangan Klang iaitu pada tahun 1866.

Peperangan Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk memerintah Daerah Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.

Walaubagaimanapun, disebabkan oleh perubahan masa dan zaman, struktur bangunan yang tidak kukuh hanya meninggalkan pintu gerbang yang mana menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi.

Pengunjung boleh singgah di Kota Raja Mahadi ini berdekatan dengan Bangunan Sultan Alam Shah untuk bergambar dan melihat tinggalan pintu bersejarah ini.

9) BANGUNAN TAN BOON CHIA, HULU SELANGOR

Bangunan Tan Boon Chia terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor yang merupakan kawasan Bandar yang dikenali sebagai tempat perlombongan biji timah yang menyumbang kepada sumber kekayaan.

Bangunan bersejarah ini dibina pada tahun 1918 oleh seorang peniaga lombong yang bernama Tan Boon Chia.

Bangunan ini mempunyai 51 buah bilik dan dijadikan sebagai markas pentadbiran sepanjang Tanah Melayu dijajah oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Bangunan ini kini hanya boleh dilihat dan diambil gambar dari luar premis dan pengunjung juga boleh melawat ke Bandar Rasa untuk beristirehat.

Menarik bukan?

Jadi apa tunggu lagi? Tak perlu jauh-jauh untuk bercuti Selangor pun kaya dengan lokasi menarik.

Namun dalam pada itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan sosial bagi mengelakkan sebarang jangkitan virus merbahaya COVID-19.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat yang lebih lanjut, anda boleh layari sesawang rasmi di Selangor.travel.

#Travel #Selangor #Staycation
;