Laman Utama

“Tak Perlu Segan, Lelaki Ada Masalah Gagal Fungsi Alat Kelamin Boleh Dibaiki” - Zainalabidin

Gempak
13/12/2023
01:55 MYT
Sponsor Banner
“Tak Perlu Segan, Lelaki Ada Masalah Gagal Fungsi Alat Kelamin Boleh Dibaiki” - Zainalabidin
Penyanyi veteran, Datuk Zainalabidin, mewujudkan kesedaran dalam kalangan kaum lelaki, supaya tidak 'bersembunyi' sekiranya berdepan masalah kegagalan fungsi alat kelamin, sebaliknya mendapatkan khidmat pakar bertauliah kerana ia boleh diperbaiki.
Zainal, 64, yang berdepan masalah itu sebelum ini berkata, masalah kegagalan fungsi alat kelamin perlu dilihat serius memandangkan ia mampu memudaratkan hubungan suami isteri dan rumah tangga.
"Sebenarnya, tak perlu segan untuk bersuara mengenainya kerana apabila kita berkongsi, ia memberi peluang kepada mereka yang ada masalah sama seperti pernah saya lalui, untuk berusaha dan memperbaiki masalah itu.
"Kalau disimpan, ia akan mengganggu hubungan dalam rumah tangga dan hubungan suami isteri itu sendiri akan menjadi semakin pudar. Ia akan mendatangkan satu perjalanan hidup yang negatif.
"Kalau saya berkongsi, maka, akan lebih ramai orang yang tahu dan pergi untuk melakukan pemeriksaan," katanya.
Tambah penyanyi lagu Hijau itu lagi, dia juga mendapatkan rawatan untuk mengembalikan fungsi alat kelaminnya selepas mendapatkan nasihat pakar.
"Lemah alat kelamin ini bukanlah satu penyakit, tetapi satu kelemahan yang disebabkan oleh faktor usia. Saya sendiri pun dah menjangkau usia 60 tahun. Jadi, memang patut kalau ia tak berfungsi seperti mana orang muda.
"Tambahan pula, disebabkan kencing manis, darah tinggi, tahap kolesterol dan sebagainya, ia mengganggu kesihatan kelamin saya dan tak berfungsi seperti biasa. Ia beransur-ansur menjadi semakin lemah.
"Jadi, saya berjumpa dengan doktor dan mereka nasihatkan saya untuk menjalankan prosedur P-Shot dan makan ubat. Sekarang, saya dah nampak kemajuan selepas melakukan prosedur itu.
"Tapi, tidaklah ia kembali 100 peratus seperti mana ketika saya berusia 18 tahun. Sekurang-kurangnya, ia menyelamatkan keadaan rumah tangga saya sebelum ia menjadi lebih teruk," katanya.
Zainal juga menegaskan agar mereka yang berdepan masalah sama tidak sewenang-wenangnya membeli lambakan produk tidak sahih keberkesanannya, yang kini dijual secara terbuka di pelbagai platform media sosial.
"Nasihat saya, sekiranya anda melalui masalah ini, berundinglah dengan pasangan dan dapatkan nasihat pakar.
“Jangan suka-suka membeli produk yang dijual di Facebook atau TikTok, yang mana, mungkin tak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ia juga boleh berisiko membahayakan anda dengan dos bahan yang terlalu tinggi. Mungkin boleh menaikkan tekanan darah, datangkan kepanasan di bahagian telinga, pening, atau mungkin boleh pengsan," katanya.
HARIAN METRO
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar