Laman Utama
"Tak Perlu Takut, Rezeki Allah Bagi” - Scha Alyahya Manfaatkan Media Sosial, Kongsi Tentang Palestin
Dikenali sebagai ikon fesyen terkenal, pelakon Scha Alyahya tidak takut untuk bersikap lantang terhadap isu Palestin biarpun banyak bekerjasama dengan jenama-jenama mewah antarabangsa.
Bagaimanapun kata Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-yahya, 40, dia memahami sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan kelantangannya di media sosial mengenai isu berkenaan.
"Kita hidup di negara yang majoritinya beragama Islam. Kenapa saya perlu rasa takut. Benar saya ada jalin kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa.
“Kita tahu mereka siapa tetapi cara kita tunjukkan sokongan kita juga memainkan peranan. Tak perlu hentam terlalu kasar," katanya.
Scha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan Finalis Herodewi Remaja 2023, yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, pada Selasa
Ditanya tentang pendapatnya mengenai pihak yang takut untuk berkongsi tentang Palestin kerana khuatir kehilangan tawaran jenama antarabangsa, ini jawapan Scha:
"Kita bertuah kerana dilahirkan di Malaysia. Majoriti kita beragama Islam. Jadi mereka (jenama) faham kita. Tak perlu rasa takut. Insya-Allah, percayalah, Allah yang beri rezeki pada kita.
"Saya juga ada meminta agar menangguhkan dulu hantaran di media sosial yang melibatkan jenama-jenama yang saya bekerjasama kerana sensitif dengan isu semasa.
"Saya akan beritahu mereka saya kurang selasa dengan apa yang terjadi sekarang, dan perlu pilih masa yang lebih sesuai.
"Sangat penting untuk Kita berkomunikasi dengan mereka dan mereka faham tentang situasi ini. Alhamdulillah, rata-rata yang pernah kerja dengan saya, mereka semua faham.
"Bagi saya, kita perlu jadi bijak daripada ikut sahaja permintaan mereka. Saya juga perlu fikir kesan yang akan saya hadapi," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Scha bakal muncul sebagai mentor dan juri tetap untuk program pencarian bakat Hero Dewi Remaja 2023.
Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 bakal ditayangkan menerusi lapan episod bermula 10 November, setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).