Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Tak Salah Merindui Orang Yang Sudah Tiada” - Nora Ariffin Akui Cintanya Tidak Pernah Padam

Hanafis Haris 03/04/2021 | 02:55 MYT

Penyanyi Datuk Nora Ariffin tidak menolak tanggapan mendakwa muzik video terbarunya, Naluri mengingatkan kembali saat manis pernah dilalui bersama arwah suaminya yang meninggal dunia akibat serangan jantung, empat tahun lalu.

Menurut Nora, rindu pada arwah suami, Johan Nawawi tidak pernah padam.

"Sejujurnya, kalau nak bandingkan perasaan ketika merakamkan lagu ini lebih dua dekad lalu dengan sekarang, memang lain. Dahulu orang yang kita sayang ada di sebelah.

"Rindu pada arwah tidak pernah padam. Pada saya, tidak salah jika masih merindui orang yang sudah tiada.

“Disebabkan itu, saya sering tekankan, sayangilah orang sekeliling sementara mereka masih ada,” katanya.

Tambahnya, lagu Naluri membawa banyak pengertian dan meninggalkan pelbagai memori indah dalam hidupnya.

"Kita tidak dapat nak sangkal keindahan lagu ini. Justeru, saya mahu pendengar meraikan cinta mereka menerusi lagu ini," katanya.

Nora berkata demikian ketika sidang media pelancaran video muzik Naluri, baru-baru ini.

Lagu Naluri ciptaan Allahyarham Johan Nawawi itu diberi nafas baharu dan dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 pembabitan Nora dalam dunia seni.

Video muzik Naluri sudah boleh ditonton di laman Youtube Warner Music Malaysia.

#Kahwin #Cinta #NoraAriffin #JohanNawawi #Naluri
;