Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Tak Sampai 24 Jam Tangan Penuh Bintik Merah, Gatal” - Hariz Hamdan Alami Kulit Sensitif

Mya Amri 17/04/2023 | 13:50 MYT
Pelakon, Hariz Hamdan berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang membawakan wataknya dalam drama popular, Andai Itu Takdirnya.

Menjalani penggambaran di sebuah rumah kampung, Hariz berkata disebabkan dirinya mempunyai kulit yang sensitif, tangannya dipenuhi dengan bintik-bintik merah disebabkan gigitan nyamuk.

“Semasa awal penggambaran drama Andai Itu Takdirnya lokasinya adalah di sebuah rumah kampung.

“Ketika itu, saya langsung tidak bersedia sebarang ubatan atau krim anti nyamuk atau serangga.

“Tidak sampai 24 jam di lokasi penggambaran tangan saya penuh dengan bintik-bintik merah yang cukup gatal. Rupanya saya mempunyai kulit yang sensitif.

“Nasib baik, nyamuk tidak gigit bahagian wajah, jika tidak susah juga untuk tutup dengan solekan kerana agak besar.

“Saya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik dan tanda-tanda kemerahan itu mengambil masa sebulan juga untuk hilang,” katanya.

Belajar daripada pengalaman tersebut, Hariz kini sentiasa bersiap sedia sebelum memasuki set penggambaran terutama jika lokasi penggambaran di kawasan kampung atau hutan.

“Sekarang saya okey, tidak ada sebarang masalah. Itu semua pengalaman yang menjadikan saya lebih bersedia.

“Demi tidak berhadapan perkara yang sama, dalam kereta saya sudah seperti mini farmasi. Daripada krim sapu, ubat makan dan pelbagai lagi keperluan ketika kecemasan semua saya sediakan,” jelasnya.

Selain Hariz, drama yang disiarkan di slot MegaDrama, Astro Ria ini juga turut dibintangi oleh Hannah Delisha, Shukri Yahaya, Puteri Sarah Liyana, Idzham Ismail dan Dayang Areeda.

Dalam perkembangan lain, dua lagi drama lakonan Hariz yang sedang ditayangkan adalah Isteri Halal dan Gadis Exxtra.

Saksikan Andai Itu Takdirnya drama adaptasi novel tulisan Siti Rosmizah yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria atau strim di Astro Go.

#Penggambaran #Hariz Hamdan #Andai Itu Takdirnya #Gatal-Gatal #Kulit Sensitif
;