Hiburan
"Tak Sangka Itu Aidilfitri Terakhir Kita" - BCL Luah Rasa Cinta & Rindu Terhadap Ashraf Menerusi 'Dear Love...'
Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) telah berkongsi sebuah video khas mengenang arwah suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair.
Video yang dikongsi menerusi YouTube pada hari ini itu diberi nama 'Dear Love...".
Menurut BCL, meskipun Ashraf tiada di sisi, namun arwah suaminya itu tetap akan berada dalam ingatannya dan anggota keluarga yang lain.
"Dear Love, tidak terasa waktu berjalan begitu cepat, kerana rasanya seperti baru kemarin kita merayakan Aidilfitri sama-sama, bersilaturahim dengan keluarga dan sahabat-sahabat di rumah.
"Saya juga masih ingat kita berbincang bagaimana mahu menghidangkan cinnamon rolls, siapalah yang sangka, itu merupakan Aidilfitri terakhir kita bersama," kata BCL dalam video tersebut.
Dalam video itu, BCL telah menggabungkan pelbagai potongan video Ashraf menyambut Syawal bersama keluarganya sebelum ini.
"Tahun ini, Noah telah bertakbir di rumah secara online, dia masih lakukan sebagaimana dengan kamu sebelum ini, cuma bezanya, kamu sudah tiada tahun ini.
"Di saat ini, kita makin menyedari bahawa di luar segala apa cubaan yang hadir dalam hidup kita, kami bersyukur kerana memiliki sesama sendiri," tuturnya lagi.
Video itu telah mendapat tontonan melebihi 8000 selepas tujuh jam dimuat naik.
Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian Ashraf.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pada pagi 18 Februari 2020 akibat mengalami serangan jantung.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ashraf Sinclair, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.