Laman Utama
"Tak Semua Orang Miskin Meminta-Minta, Jangan Usik Hati Mereka!" - Bonda Rozita Tempelak Kenyataan DSV Isu #BenderaPutih
Usahawan, Bonda Rozita menempelak kenyataan pengusaha kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida berhubung isu kempen #BenderaPutih yang tular baru-baru ini.
Menyifatkan kenyataan Vida kurang berasas, Rozita tampil mengulas situasi semasa dan sensitiviti rakyat yang sedang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
"Saya minta maaf dulu pada DSV apa saya ulas ni adalah baik-baik belaka untuk semua orang.
"Dalam keadaan sekarang bukan isu rakyat Malas kerja! Kalau dulu tak ada COVID-19, mana ada orang kibar bendera putih nak minta makanan?
"Banyak lagi pemalas jahat, penipu besar tak pakai bendera putih pun, itu lagi mencuri malah yang lebih jahat - menakutkan, dibenci oleh negara," katanya.
Pernah juga melalui detik-detik sukar dalam kehidupan, tegas Rozita bukan sifat orang yang kurang berkemampuan untuk meminta-minta.
"Saya pernah lalui kemiskinan tapi bukan dalam COVID-19. Tak semua orang miskin meminta-minta! Ayat malas tak sesuai digunakan dalam rakyat stress, kita simpati kita kena ada sensitiviti sebab manusia sekarang sangat teruk perasaannya.
"Posting pun kena berhati-hati untuk menjaga perasaan hati semua orang. Rakyat tolong rakyat, kami tak nak ada yang kelaparan & bunuh diri," pesannya.
COVID-19 tambah Rozita telah menjejaskan banyak pihak termasuk pemain industri besar hingga ada yang sudah muflis. Begitu juga simpanan orang ramai yang semakin menyusut.
"Berapa banyak hilang kerja dan bercerai sebab COVID-19, dalam isu sekarang kita jangan salahkan sesiapa pun. Kita semua dah cukup tertekan.
"Logiknya tak da orang suka naikkan bendera putih. Saya tengok pun sedih dan saya tak gembira dengan keadaan negara kita sekarang, sebab rakyat kita bukan jenis meminta-minta.
"Semua orang nak kerja dan tak harap duit kerajaan. Kita nak kehidupan bebas dulu, kita semua dah usaha macam-macam.
"Kalau dah kawat besi, saman sana sini, viral langgar SOP, sedangkan anak rumah lapar... itu tekanan besar pada kami, belum lagi sakit, risau, rindu mak ayah tua di kampung," ujarnya.
Begitupun, Rozita menghormati pendirian Vida yang punyai niat baik untuk memberikan motivasi kepada rakyat Malaysia.
"Tetapi rakyat kita tak perlu motivasi begitu saat begini, mereka lagi down nanti. Mereka dalam gelora, jangan kita tambah kepedihan mereka.
"Kita orang tua Dato Vida, banyak pengalaman suka duka," kata Rozita lagi yang akui tertekan melihat kepayahan orang ramai ketika ini.
Nasihat Rozita lagi agar Vida tidak menjentik hati orang ramai dengan kata-kata yang perit.
"Hati orang ramai kena jaga, kita buat posting yang lawak ker, kasi info ke, hiburkan mereka. Itu lebih sesuai sebab tak semua orang boleh usaha kalau tak ada ilmu dan tak ada modal.
"Kita terkurung, jika kita tak mampu nak sedekahkan semua orang jangan usik hati mereka. Bonda tahu Vida baik dan suka bantu orang cuma tukar teknik kamu supaya tak tambah kekeruhan dyang sedia ada," nasihatnya.