Hiburan
"Tak Senang Nak Jaga Anak-Anak Ni .." - Isteri Aliff Satar Pernah Nangis Sebab Penat Fizikal & Mental
Isteri kepada selebriti popular Alif Satar, Shadila Halid akui berdepan dengan cabaran sepanjang menguruskan tiga orang anak.
Kata Shadila, dia pernah menangis disebabkan terlampau penat dari segi fizikal dan mental.
"Tiga orang ini. Saya harap mereka tahu sejauh mana cinta saya kepada mereka. Jadi seorang ibu adalah perkara yang paling terbaik pernah terjadi.
"Tapi saya tak boleh nafikan saya perlu berdepan dengan banyak cabaran. Tak senang nak jaga anak-anak ni. Mungkin mudah bagi sesetengah orang tapi saya akui ia bukan mudah untuk saya.
"Ada hari yang saya hanya menangis sebab sangat penat dari segi fizikal dan mental. Jadi seorang yang mahukan kesempurnaan dan menjaga kebersihan bukanlah mudah dengan tiga orang anak.
"Beberapa kali saya hanya mahu tidur dan abaikan saja semua tangisan itu tapi saya tidak akan pernah menukar semua ini untuk perkara lain. Tidak mahu!" tulisnya sempena sambutan hari ibu yang disambut pada hari Ahad lalu.
Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi I Want You To Love Me berasa bangga dengan semua ibu bapa yang berjaya menghadapi cabaran sukar setiap hari.
Malah bagi Shadila, ibu bapa adalah wira sebenar buat anak-anak.
"Saya bangga dengan semua ibu bapa di luar sana terutama dalam tempoh yang sukar ini, bukan selalunya waktu seronok dan bermain.
"Kita sentiasa berdepan dengan cabaran setiap hari namun kita hadapinya dengan kekuatan. Ibu bapa adalah hero sebenar buat anak-anak mereka.
"Sekali lagi, selamat hari ibu dan saya doakan semua ibu yang cantik akan berada di syurga untuk semua kasih sayang dan pengorbanan anda. Sesungguhnya, syurga terletak di bawah kakimu," tulisnya lagi.
Terdahulu, Alif dan Shadila telah berkahwin pada 15 September 2014.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata bernama Alisha Anugerah, Ariana Mecca dan Muhammad ‘Ali.