Berita
Tak Suka Bergaduh Di Sosial Media, Noraniza Idris Tekad Jumpa Michael Ang Selesaikan Isu Secara Profesional
Nama Noraniza Idris yang akrab disapa Kak Ani dalam kalangan penggiat industri hiburan cukup hangat beberapa hari ini.
Hal itu terjadi lantaran dirinya 'bangkit' membalas kritikan yang dilemparkan pengarah Michael Ang terhadap persembahannya pada minggu separuh akhir Gegar Vaganza yang disifatkan sebagai tidak memberangsangkan serta 'tidak layak' berada dalam pertandingan tersebut.
Dengan tenang, kata pelantun lagu Hati Kama itu mengatakan apa yang dibalas dalam media sosial adalah sebagai satu luahan setelah keluarganya cukup terkesan dengan situasi yang sedang terjadi.
"Saya sama seperti manusia yang lain, ada masa hati juga rapuh. Apa lagi berada dalam Gegar Vaganza yang memang mencabar buat saya, satu satunya penyanyi Irama Malaysia dalam program ini.
"Jadi apabila ada kecaman dengan ayat ayat yang keterlaluan, ada kala saya rasa terlupa untuk perlu lebih sabar dan lebih kuat," akui Kak Ani dalam pertemuan eksklusif bersama Gempak, semalam.
Menurut penyanyi yang sudah memenangi banyak anugerah ini, beliau seorang yang profesional. Dikritik suara sengau atau tidak sedap, bukan sebuah masalah besar untuknya. Apalagi setiap pandangan itu berbeza.
"Saya tak kisah orang nak kritik suara saya tak sedap ke sengau ke. Saya tak kecil hati. Itu pandangan masing masing.
"Namun apa yang menguris perasaan saya adalah apabila keluarga saya terguris. Mereka menangis dan saya ikut menangis kerana kritikan yang diberikan membuat keluarga sedih," kata Kak Ani.
Beliau kemudian menyambung: "Keluarga sampai minta Kak Ani jangan teruskan (GV) kerana orang terlalu kejam untuk judge kita. Mereka rasa saya seperti dibuli."
Berulang kali mengatakan dirinya bukan cepat melatah kerana dikritik, namun beliau sangat menghargai jika kritikan yang dilemparkan ditulis dengan berhemah dan membina.
Untuk lebih lanjut, dengarkan luahan hati Kak Ani dalam video eksklusif Gempak bersama Kak Ani ini.