Laman Utama

Taksub & Sesat! Primadona Nasha Aziz Buat Comeback Dalam Filem Seram, Talbis Iblis!

Mya Amri
22/09/2022
14:15 MYT
Sponsor Banner
Taksub & Sesat! Primadona Nasha Aziz Buat Comeback Dalam Filem Seram, Talbis Iblis!
Pelakon hebat, Nasha Aziz membuat kemunculan semula dalam filem seram, Talbis Iblis.
Naskhah ini yang mendapat sentuhan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia ini juga diterbitkan oleh gabungan penerbit hebat tanah air iaitu Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment.
Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, filem itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
“Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri dengan menggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza.
“Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun.
“Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita.
“Di samping itu dapat menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana,” jelasnya.
Nasha ditemui selepas majlis pelancaran filem seram terbaharu lakonannya berjudul Talbis Iblis bertempat di Panggung Asia pada Khamis.
Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad juga mengulas tentang kerjasama untuk menghasilkan filem ini.
“Kerjasama ini memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap.
“Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton.
“Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya.
“Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton,” jelasnya.
Selain Nasha, naskhah ini juga dibintangi oleh Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 20 Oktober ini. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek di Far East Film Festival Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu.
Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.
‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini.
Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar