“Takut Tapi...“ - Alam Wakaka Pilih Gadis 15 Tahun Lebih Muda Jadi Tunangan
Pelakon dan koreagrafer popular, Alam Wakaka selamat melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya, Nurul Alisya Najwa Hazman semalam.
Alam atau nama sebenarnya, Muhamad Haslam Abd. Rahman, 34, mengikat tali pertunangan dengan gadis berusia 19 tahun itu dalam sebuah majlis yang diadakan di Segamat, Johor.
Menurut Alam, dia sedar bakal isterinya jauh lebih muda 15 tahun daripadanya, namun menganggap itu sebagai ketentuan jodohnya.
“Saya dah berkawan dengannya dah hampir tiga tahun selepas putusnya hubungan dengan yang lama sebelum ini selama tujuh tahun.
“Kira memang jauh juga jarak umur, tapi nak buat macam mana. Ini adalah satu keputusan yang berat buat saya. Takut, tapi kuat kerana sayang,” katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Alam lagi, sepanjang perkenalan dengan gadis tersebut, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang tarikh khas sambutan ulang tahun seperti pasangan lain.
“Saya dan tunang tidak ada anniversary macam pasangan lain,” katanya lagi.
Alam mengikat tali pertunangan untuk tempoh enam bulan sahaja sebelum berhasrat untuk mengadakan majlis pernikahan pada awal tahun depan.
Terdahulu, majlis pertunangan yang diadakan di kediaman wanita tersebut di Segamat, Johor hanya dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.
Alam menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima.