Berita

Tampil 3 Lagu Baru, Blues Gang Masih Boleh 'Cari Makan'

Elrafaei Sapi
05/12/2018
12:24 MYT
Sponsor Banner
Tampil 3 Lagu Baru, Blues Gang Masih Boleh 'Cari Makan'
Perubahan industri muzik daripada bentuk fizikal seperti cakera padat (CD) kepada digital tidak mematahkan semangat kumpulan muzik otai, Blues Gang tampil dengan album baru.
Vokalisnya, Ito Mohd berkata mereka akan kembali dengan album baru yang menampilkan tiga lagu baru berjudul Bangkit Bukan Bingit, Ke Arah Padang Yang Cerah dan Selamat Tinggal Semalam.
"Sekarang buat album bukan 10 lagu tapi 2 dan 3 lagu. Namun, kami masih mencari lagu lain untuk album baru ini yang dijangka berada di pasaran pada tahun depan," katanya kepada Astro Gempak.
Ito yang muncul dengan lagu solo terakhir, Upin & Ipin sebelum ini memberitahu album terbaru ini merupakan 'come back' Blues Gang selepas album terakhir pada tahun 1998.
"Lagu baru perlu banyak publisiti, mesti didengar kepada orang ramai. Jika radio tak main memang tak boleh pergi.
"Seperti lagu Bangkit Bukan Bingit, ia menceritakan pasal semangat iaitu memberi semangat pada semua untuk kebaikan dan masa depan yang lebih baik," katanya.
Bagi penyanyi berusia 67 tahun ini, soal terima atau tidak peminat terhadap lagu baru bukan isu kerana Blues Gang sudah lama meneruskan perjuangan dalam muzik dan percaya peminat tegar mereka akan membeli album baru ini nanti.
"Apa yang perlu difikirkan, tak banyak syarikat rakaman nak jual CD melainkan jual sendiri.
"Hanya satu 'single' boleh push di radio sehingga 'high rotation' iaitu lagu tersebut dimainkan banyak kali," katanya.
Baginya, Blues Gang tidak sukar untuk menghasilkan lagu baru tapi mempersoal siapa yang mahu memainkan lagu baru.
"Tak tau macamana nak jual. Dulu buat CD, ada kedai jual CD tapi masa itu berlaku pula cetak rompak.
"Cetak rompak buat industri muzik berterabur. Macam saya ketika menyanyikan lagu Upin & Ipin, apabila ditanya pada produser memberitahu wujud cetak rompak," katanya.
Jelasnya, masalah cetak rompak memberi impak yang besar pada perkembangan industri muzik dan nasib artis.
"Orang yang buat lagu bukan ramai, mana orang tahu betapa susah nak buat lagu.
"Mana ada orang cari makan melainkan orang gila saja. Kami dah buat lagu sejak dulu tapi bagaimana pula dengan artis baru," katanya.
Tambahnya, Blues Gang yang popular menerusi lagu Apo Nak Di Kato, masih boleh 'cari makan' menerusi persembahan di kelab malam.
"Senang nak main kelab mana. Blues adalah irama yang sederhana, boleh main di mana-mana tapi terpulang pada anda nak main kat mana.
"Saya masuk dalam industri ini bukan nak main di kelab tapi nak buat lagu dan jual pada orang ramai. Orang beli album kita secara pasaran terbuka macam di Eropah dan Amerika Syarikat tapi di sini tak boleh buat," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar