Laman Utama

Tampil Dengan Lagu Baru Dalam Tiga Bahasa, MFMF Target Masuk Industri Hiburan K-Pop!

Asraf Aided
10/12/2021
12:10 MYT
Sponsor Banner
Tampil Dengan Lagu Baru Dalam Tiga Bahasa, MFMF Target Masuk Industri Hiburan K-Pop!
Kumpulan MFMF yang dianggotai Brendan Lim, Justin Seow dan Zen kini tampil dengan single terbaru berjudul Rindu.
Menariknya tentang lagu ini, ia dihasilkan dalam tiga bahasa iaitu Korea, Mandarin dan Bahasa Melayu.
Single ini juga menampilkan kolaborasi bersama rapper Airliftz dan juga Alex Ungku.
Menurut Brendan, MFMF menghasilkan lagu itu dalam Bahasa Korea kerana mereka meletakkan target untuk memasuki pasaran hiburan di negara berkenaan.
"Kami hasilkan lagu ini dalam tiga bahasa iaitu Mandarin, Korea dan Bahasa Melayu. Lagu asalnya ditulis dalam Bahasa Melayu, sebab kami hasilkan dalam Bahasa Korea kerana setelah mendengarnya, kami rasa ia kedengaran bagus jika dinyanyikan dalam bahasa itu juga.
"Kami juga memandang industri hiburan K-Pop semakin pergi jauh. Malah, baru-baru ini pun, kumpulan terkenal BTS ada memenangi beberapa kategori dalam American Music Awards (AMA).
"Oleh itu, kami sememangnya meletakkan perancangan untuk menembusi bidang hiburan di sana," katanya.
Brendan berkata demikian ketika ditemui di acara MFMF Listening Party sempena pelancaran lagu Rindu di The Starling Mall, Damansara Utama pada Rabu.
Dalam pada itu, MFMF juga gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan penyanyi Korea Selatan, Jimmy Brown untuk menyanyikan bersama lagu Rindu versi Korea.
"Kami sudah lama simpan hasrat untuk menghasilkan lagu dalam Bahasa Korea, sekitar pertengahan tahun ini, kami terlibat dengan sesi tulis lagu secara online untuk artis K-Pop, disitulah kami berjumpa dengan Jimmy Brown.
"Kami gembira kerana proses berjalan lancar, Jimmy adalah seorang yang sangat mudah untuk bekerjasama," kata Brendan lagi.
MFMF berperanan bukan sekadar komposer, malah turut menjadi penyanyi latar dalam tiga versi lagu tersebut.
Rindu versi Korea dilancarkan dahulu pada 29 Oktober lalu diikuti Mandarin dua minggu selepas itu.
Versi Bahasa Melayu pula dilancarkan pada 26 November lalu.
Gabungan MFMF bersama Airlift dan Alex Ungku menjadikan lagu itu taruhan pertama mereka dalam muzik arus perdana di Malaysia.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar