Hiburan
Tampil Dengan Single Baru Pop EDM, Stacy Kembali Dengan Khayal
Kali terakhir muncul dengan single Raja pada tahun lepas, penyanyi Stacy kembali dengan karya terbaru yang berjudul Khayal.
Lagu bergenre pop EDM ini merupakan hasil ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Ziin ini masih berpaksikan muzik pop dansa.
Namun begitu, lagu ini tetap membawakan kelainan dari sudut susunan muzik yang disuntik elemen trap dan alunan melodi ‘EDM synth’ memberikan bunyi unik kepada lagu ini.
“Kelainan yang paling ketara dalam lagu ini adalah persembahan vokal dan penghayatan saya. Kali ini, persembahan vokal saya lebih memberikan penekanan kepada feel feminin dan beremosi,” kata wanita yang berusia 29 tahun ini.
Senikata Khayal merupakan hasil tulisan pemilik nama penuh Ummu Shaikhah Stacy Anam ini sendiri yang berkarya di bawah nama pena Bunga Cantik.
Lirik yang mengambil inspirasi daripada kisah diri Stacy sendiri yang gemar berkhayal dengan kisah fantasi di kala waktu dirinya sukar melelapkan mata di waktu malam.
“Lagu ini sebenarnya saya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah.
“Saya rasa semua orang pun pernah mengalami perkara yang sama, semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi di benak fikiran masing-masing sebagai ‘escapism’ untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan,” katanya lagi.
Isteri kepada penyanyi terkenal Akim Ahmad ini juga sejak kebelakangan ini seringkali menggunakan tanda pagar #SampaiKeBulan dalam hantarannya di sosial media.
“Dalam lirik Khayal ini saya ada menulis tentang ‘biar cinta sampai ke bulan’. Sebenarnya saya tulis khas bait lirik ini untuk menggambarkan betapa besarnya cinta saya kepada keluarga kecil saya dan betapa utuhnya ikatan kami sekeluarga yang akan tetap selalu menjalani kehidupan bersama walau susah atau senang,”jelasnya lagi dalam sebuah kenyataan media.
Khayal merupakan lirik kedua tulisan Stacy selepas mencuri perhatian sebagai penulis lirik menerusi lagu hit Rampas yang dipopularkan oleh kumpulan Akim & The Majistret.
Pertama kali menyampaikan sendiri karya ciptaan dan tulisannya, Stacy menyifatkan lagu Khayal sebagai karya yang paling istimewa buat dirinya dan Stacy turut melafazkan rasa syukur kerana mendapat tunjuk ajar dan dorongan suami tercinta dalam meningkatkan lagi potensi dirinya.
“Saya amat berterima kasih kepada suami saya iaitu Akim atau Hang Nadim kerana selalu memberi dorongan dan sokongan dalam menghasilkan sesebuah lagu dan menjadi mentor untuk saya dalam berkarya.
“Akim sentiasa berkongsi ilmu supaya saya lebih faham tentang cara penghasilan sebuah lagu dan sekaligus menggunakan pengalaman 11 tahun saya dalam karier seni bagi menghasilkan lagu Khayal ini,” ujarnya lagi.
Lebih istimewa lagi, Khayal merupakan single pertama terbitan Stacy sendiri menerusi syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment (RnR) miliknya dan suami dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai rakan usahasama dan pengedar.
Tidak sabar menanti reaksi peminat, buah tangan terbarunya ini akan dilancarkan sepenuhnya di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula esok, 12 Julai 2019.