Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Tanah Jerlus Masjid India: Bomba Henti SAR Selam Skuba

Gempak 30/08/2024 | 07:25 MYT

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada jam 5 pagi hari ini.

SAR Selam Skuba Berisiko Tinggi

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya mendapati SAR secara fizikal selam skuba sangat berisiko tinggi dan mencadangkan pihak yang terbabit SAR menggunakan kaedah lain.

Menurutnya, JBPM akan memberi nasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mencari kaedah SAR lain pada mesyuarat yang akan diadakan petang ini.

Katanya, selain berisiko tinggi kepada anggota selam skuba ia juga terdapat halangan yang sukar untuk dilepasi anggota penyelam.

"Terdapat 'baglock' sedalam 18 meter didalam ruang saliran itu dan didapati sangat sukar untuk dipecahkan kerana ia berupa lemak tepu seperti bongkah simen," katanya kepada pada Majlis Perhimpunan JBPM Ogos 2024 di Dewan Sutera,Ibupejabat JBPM, Putrajaya, hari ini.

Media hari ini melaporkan, operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini masih memfokuskan kepada usaha untuk merungkai 'backlog' membabitkan timbunan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian yang dikesan semalam.

Nor Hisham berkata,pada jam 4 pagi tadi paras air berada pada tahap selamat untuk menurunkan seorang penyelam skuba JBPM dan seorang penyelam pekerja syarikat kumbahan selama 20 minit ke dalam saluran itu.

Menurutnya, 'baglock' yang terdapat pada jarak 18 meter dari tempat kejadian itu didapati sangat sukar untuk dilepasi penyelam skuba termasuk tidak berjaya dipecahkan kerana ia berupa lemak tepu seperti bongkah simen.

Katanya, halangan itu juga tidak bergerak dan tidak berjaya dipecahkan apabila ditembak dengan pancutan air berkuasa tinggi termasuk dron yang dilepaskan di dalam air juga tidak dapat ditarik balik oleh lapan anggota JBPM selepas dipercayai tersangkut pada pelbagai barangan dalam saluran itu.

"Sekiranya anggota skuba melepasi halangan itu berkemungkinan mereka sukar untuk berpatah balik disebabkan ruang sempit dan arus deras," katanya.

Dalam pada itu Nor Hisham menambah, kamera dalam air yang dilepaskan dalam saluran itu turut mengesan pelbagai barangan seperti imej kain dan lain-lain.

Katanya, buat masa ini pihaknya tidak boleh mengandaikan kain itu adalah milik mangsa kerana terdapat pelbagai barangan di di dalam saluran itu.

"Kamera itu juga tidak mengesan sebarang bentuk tubuh badan manusia disebabkan air mengalir di dalam saluran itu," katanya.

Sumber: Harian Metro

#Bomba #Tanah #Henti #SAR #Masjid India #jerlus #Berisiko
;