Laman Utama
"Tangan Melekit, Halangan Terlerai" - Durian Bukti Simbol Perpaduan Rakyat Malaysia! #FoodiesLife
Durian adalah buah kegemaran rakyat Malaysia sehingga menjadi makanan pilihan masyarakat di negara ini tanpa mengira usia.
Lebih istimewa, durian juga menjadi lambang perpaduan yang dapat menyatukan semua kaum.
Oleh itu, raja buah itu dijadikan tarikan utama bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 tahun ini menerusi program Pesta Durian Hari Merdeka yang berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos ini.
Program anjuran pusat beli belah Da Men Mall USJ1 itu turut mendapat sokongan bersama daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 4 Subang Jaya, Pertubuhan Kebajikan Malay, Chinese, Indian and Others (MCIO) dan Kelab Rotary Subang Jaya Utara.
Menurut Pengurus Besar Pemasaran Da Men Mall, Evelyn Woon, pihaknya berasa teruja apabila program Hari Kebangsaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
"Sempena menyambut Hari Kebangsaan 2023, kami tampil dengan idea berdasar Malaysia Madani iaitu membawakan ‘The King of Fruits’ buah-buahan kegemaran rakyat Malaysia untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
"Disamping mereka merasai kenikmatan durian, kami juga mahu menanam rasa kecintaan mereka terhadap negara Malaysia. Pengalaman yang nyata dan lazat ini menjadi metafora untuk ikatan yang terbentuk semasa acara Pertandingan Makan Durian dan All You Can Eat Durian buffet dan persembahan gendang pelbagai budaya dari VR Drumming Academy.
"Dengan menggunakan durian sebagai simbol perpaduan, apabila tangan melekit semasa menikmati makanan istimewa ini, halangan antara manusia terlerai, memupuk interaksi dan persahabatan yang tulen.
“Disebabkan itu, kami bawakan durian dan terbukti acara ini mendapat sambutan daripada pelbagai kaum dan agama selain pelbagai aktiviti dan acara persembahan disediakan pada Sabtu lalu,” katanya.
Majlis pelancaran Pesta Durian Hari Merdeka yang diadakan di ruang utama Da Men Sabtu lalu itu dirasmikan oleh EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari dan Majlis Perwakilan Penduduk - MPP Zon 4 MBSJ, Kamarul Hisham.
Lebih 200 pengunjung hadir menyertai pelbagai acara yang disediakan seperti All You Can Eat Durian Buffet, Pertandingan Makan Durian, Edaran Bendera Jalur Gemilang, aktiviti kanak-kanak, cabutan bertuah serta pemeriksaan gigi.
Lebih meriah acara yang bermula jam 2 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum sekitar Subang Jaya yang turut sama-sama merasai kenikmatan buah durian disamping membina silaturahim.
Pelbagai durian terbaik disajikan kepada pengunjung seperti Black Thorn, Udang Merah dan Musang King.
#Viral
#Gaya Hidup
#Durian
#Subang Jaya
#Merdeka
#Bufet
#Perpaduan
#Foodies Life
#Da Men Mall
#Pesta Durian