Laman Utama

Tangkis Stigma 'Anak Derhaka', Pusat Penjagaan Warga Emas T20 Bakal Dibina Dengan Fasiliti Moden! - "Harga Sebulan RM8,000 Hingga ..."

Amri Hassan
24/06/2023
02:50 MYT
Sponsor Banner
Tangkis Stigma 'Anak Derhaka', Pusat Penjagaan Warga Emas T20 Bakal Dibina Dengan Fasiliti Moden! - "Harga Sebulan RM8,000 Hingga ..."
Sebut saja rumah warga emas pasti ramai yang akan meletakkan stigma 'anak derhaka' dan 'tak sayang orang tua'.
Tapi hakikatnya, pusat penjagaan warga emas bertaraf dunia dengan fasiliti dan infrastruktur terancang yang bakal dibina hasil usahasama Alphacapital (M) Berhad, Rakyat Trustee Berhad, dan Seterra Group of Companies bakal memberikan tanggapan berbeza kepada orang ramai!
Ujar penyanyi dan usahawan yang juga Lembaga Pengarah AlphaCapital (M) Berhad, Erna Elliyana, pusat penjagaan warga emas yang bakal dibina di ibu kota dalam tempoh dua tahun itu mempertuntukkan bayaran bulanan sekitar RM8,000 hingga RM10,000.
"Harga sebulan sekitar RM8,000 hingga RM10,000, jadi sebab itulah mereka perlu melabur duit bukannya menggunakan duit simpanan.
"Apabila mereka tinggal di sana, dijaga oleh jururawat, ada logistic provider, ada butler, pakar estetik, hiburan dan ubat-ubatan. Itu merangkumi semua termasuk bed ridden.
"Selain itu, ia menawarkan pelbagai aktiviti riadah menyeronokkan, juga majlis ilmu yang boleh meningkatkan kerohanian sebagai persediaan terakhir mereka," katanya kepada Gempak.

Bersiap sedia tempuh hari tua

Erna yang ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Daigor Hong Kong Style Muslim Restaurant, Jumpa @ Sg Wang, baru-baru ini menjelaskan pusat penjagaan warga emas 'premium' itu juga sebagai sebahagian persiapan awal untuk dirinya sendiri.
"Saya ada berdepan beberapa situasi yang mana kita rasakan ibu bapa kita gembira tinggal dengan kita, padahal mereka lebih suka apa yang mereka nak.
"Apabila berumur, mereka nak lebih perhatian, jumpa kawan-kawan mereka, jadi kita kena selari dengan mereka, perlu sediakan apa yang mereka mahu.
"Sebenarnya saya tak cakap pasal silver age economy, kita perlu merancang. Kita pun tak nak susahkan anak-anak apabila sudah menua kelak kerana mereka pun ada kehidupan sendiri. Kos hidup sekarang tak murah, mereka perlu lebih berusaha untuk survival.
"Kita perlu bersiap-sedia 'menua' dalam keadaan yang gembira, lebih rasa bebas untuk beribadah, tak fikirkan masalah. Umur makin meningkat, kadang-kadang bila kita gembira kita tak sakit sebab itu mindset, faktor itu pun kena jaga.
"Allah beri sekali sahaja kehidupan, maka kita perlu manfaatkannya. Jangan diserabutkan dengan benda lain," ujarnya.
Realistik akan warga emas sewajarnya dilindungi, Alphacapital (M) Berhad, Rakyat Trustee Berhad, dan Seterra Group of Companies, memeterai usahasama untuk projek terbabit.

Sasar pelaburan RM100 juta

Lembaga Pengarah Alphacapital (M) Berhad , Tuan Syed Mahadzir Fadaak berkata, pihaknya menyasarkan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk melaksana dan menggerakkan projek ini.
“Sinergi tiga hala membabitkan tiga entiti ini bukan sekadar membangunkan sebuah projek, akan tetapi turut memastikan pelaburan yang dibuat pelabur dapat diuruskan secara sistematik, berwibawa dan amanah.
“Disini peranan Alphacapital (M) Berhad adalah sebagai syarikat pelaburan. Manakala Rakyat Trustee Berhad pula bertindak sebagai Pemegang Amanah. Sementara Seterra Group of Companies mengerakkan projek ini dan mengumpul data pelabur berpontensi.
“Sasaran pelabur kami adalah golongan T20 yang ingin melabur untuk saham akhirat mereka,” katanya.

2 juta warga emas di Malaysia

Isu kediaman selepas persaraan sebelum ini pernah dibahaskan dan ia tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.
Pengarah Seterra Group of Companies, Yang Mulia Raja Dhiyauddin Raja Amir, dalam kenyataannya berkata, pada masa ini terdapat kira-kira dua juta warga emas berusia 60 tahun ke atas di Malaysia.
“Menurut laporan statistik penduduk, Malaysia hari ini dihuni 7 peratus warga emas berusia 60 tahun dan keatas. Dijangka mencapai status negara menua pada 2030 kerana 15 peratus penduduknya terdiri daripada golongan yang disebutkan tadi.
“Dimanakah warga emas ini akan ditempatkan sekiranya tanggungjawab menjaga mereka tidak dapat dipikul anak-anak. Atau mereka sendiri yang memilih untuk menetap dengan rakan seusia kerana seronok melakukan aktiviti kerohanian bersama-sama. Dimana pihak pengurusan rumah warga emas bertanggung jawab menyediakan perkhidmatan menguruskan kebajikan, memantau kesihatan dan melaksanakan aktiviti.
“Konsep rumah warga emas bakal bina bukan seperti yang pusat perlindungan sedia ada. Contoh jika warga emas ini mahu keluar riadah di pusat membeli-belah misalnya, akan ada pemandu yang bawa mereka untuk tujuan itu.
“Justeru kediaman selepas persaraan dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi dalam menjana ekonomi negara dan pada masa sama memberi kehidupan yang lebih baik untuk warga emas di Malaysia, mungkin juga konsep ini dapat digunakan di peringkat global,” katanya.

Pemegang amanah

Sementara itu, Pengarah Urusan Rakyat Trustee Berhad, Faudzi Mt Din, pula berkata, peranan syarikatnya adalah menjadi pemegang amanah yang mengurus dan melaksanakan arahan dan mandat pelabur secara telus, cekap dan sistematik, sekaligus memastikan matlamat asal pelabur untuk tujuan kebajikan terlaksana.
“Pendekatan ini salah satu cara alternatif untuk membantu pelabur menguruskan kewangan mereka yang berhasrat melakukan kerja amal dan membina jambatan pahala melalui pelaburan yang dibuat.
“Sebagaimana umum tahu di Malaysia terdapat harta pusaka bernilai RM90 billion yang dibekukan dan tidak dapat dituntut oleh ahli keluarga. Keadaan ini mungkin disebabkan hutang piutang yang tidak dilangsaikan semasa hayat.
“Katakanlah pelabur itu adalah pesara, mereka menjual aset untuk membayar hutang-hutang yang ada. Sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh, mereka laburkan kepada Alphacapital dan pihak kami bertindak menguruskan kewangan mereka.
"Pelabur yang merupakan warga emas ini masih mempunyai kediaman selepas persaraan yang disediakan kami, dalam masa sama mereka bebas hutang,” katanya.
Tambahnya lagi, pelabur berpotensi itu tidak semestinya warga emas yang menyumbang kepada projek ini tetapi sesiapa saja individu perseorangan atau syarikat yang berminat.
Sinergi 3 hala membabitkan tiga entiti ini tidak hanya tertumpu pada pembinaan kediaman selepas persaraan sahaja tetapi juga projek-projek berpotensi lain yang membawa kebaikan kepada ummah.
Kredit foto: BP Guide India
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar