Laman Utama
Tayang Baju Kahwin Rekaan Versace & Kasut Kaca Ala Cinderella, Britney Spears: “Dongeng Itu Nyata”
Bintang pop terkenal dunia, Britney Spears selamat berkahwin dengan kekasihnya, Sam Asghari pada Khamis lalu.
Dilaksanakan secara tertutup dengan dihadiri oleh keluarga dan teman rapat, tidak banyak yang dapat menyaksikan kemeriahan termasuk busana pengantin dan lokasi perkahwinan yang dihias indah pada hari bersejarah tersebut.
Selepas sah menjadi isteri Asghari, Britney berkongsi beberapa foto yang antaranya merupakan busana pengantin rekaan eksklusif Versace, lokasi perkahwinan di Thousand Oaks, Los Angeles yang dihiasi bunga bungaan segar termasuk kereta kuda yang dipenuhi mawar merah jambu.
Tidak hanya itu, penyanyi berusia 40 tahun tersebut turut mempamerkan kasut perkahwinan kaca ala Cinderella yang cukup menarik.
Dalam salah satu kapsyen di Instagramnya, Britney menuliskan: “Dongeng itu nyata.”
Britney juga meluahkan perasaannya sebelum berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan kelahiran Iran tersebut.
Walaupun ini merupakan perkahwinannya yang ketiga, Spears mengaku tetap cemas menjelang bergelar raja sehari.
“Saya gugup sejak pagi, sebelum semuanya (perkahwinan) terjadi. Walaupun saya diserang panik, tapi semuanya berjaya diatasi,” tulisnya.
Asghari juga melalui tulisan di Instagramnya secara berseloroh memberitahu pasangan yang mahu berkahwin agar tidak menonton filem hit lakonan Richard Gere dan Julia Roberts, Runaway Bride yang akan membuatkan perasaan cemas melanda.