Hiburan
Tekanan Darah Tinggi, Acong Dikejarkan ke Zon Kuning
Penyanyi, pelakon dan pelawak Acong dimasukkan ke zon kuning Hospital Ampang pada petang Khamis (semalam), selepas tekanan darahnya naik terlalu tinggi.
Isteri Acong, Marya Zuraida ketika dihubungi Gempak berkata, dia membawa Acong ke klinik selepas suaminya itu mengadu sakit kepala.
“Ketika itu kami dalam perjalanan pulang dari Astro, ada rakaman ‘throwback Gegar Vaganza’. Acong kata dia sakit kepala.
“Saya terus bawa ke klinik, sebab kalau ikut Acong dia mahu pulang makan Panadol sahaja di rumah. Mujur saya berkeras dan bawa juga dia ke klinik.
“Di klinik doktor terus rujuk Acong ke bahagian kecemasan Hospital Ampang kerana tekanan darahnya terlalu tinggi,” katanya.
Tambah Marya lagi, selepas beberapa jam di zon kuning Acong dipindahkan ke wad biasa selepas tekanan darahnya turun.
“Selepas pemeriksaan di wad kecemasan, doktor putuskan untuk masukkan Acong di wad zon kuning terlebih dahulu.
“Alhamdulillah daripada tekanan darahnya lebih 250, selepas dipantau doktor ia turun kepada 123 dan dipindahkan ke wad biasa.
“Apa pun saya bersyukur kerana bertindak cepat dengan membawa suami ke klinik. Saya bimbang kerana dia memang selalu mengadu sakit kepala,” katanya.
Dalam pada itu Marya sempat mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan suaminya itu.
“Terima kasih kepada yang mendoakan Acong. Insha-Allah Acong tak apa-apa, cuma perlu berehat,”katanya.
Terdahulu, Marya telah memuat naik berita mengenai suaminya itu di laman sosial Facebook (FB) dan perkongsian tersebut telah menarik perhatian ramai kenalan.