Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Tempa Nama Di Persada Dunia, Latif Romly Terima Ganjaran RM150,000

Mya Amri 28/09/2021 | 21:30 MYT

Atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly menerima ganjaran daripada kerajaan negeri Perlis atas kejayaan anak jati negeri itu menempa nama di persada dunia.

Menurut Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan bernilai RM150,000 di atas kejayaan membanggakan sebagai motivasi kepada wira negara itu untuk mencipta lebih banyak kemenangan.

Jelasnya lagi, ia juga sebagai pendorong agar Abdul Latif yang meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo, 4 September lalu terus bersemangat untuk menyertai pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

“Diharap usaha ini akan menjadi suntikan semangat kepada Abdul Latif untuk mendapat lebih banyak kejayaan.

“Saya difahamkan pada tahun depan, beliau akan mengambil bahagian dalam sukan yang diceburi di peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Pencapaian cemerlang Abdul Latif membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet cemerlang bertaraf antarabangsa.

Anak jati Kampung Paya Kelubi, Arau itu tidak mengalami sebarang kecacatan fizikal, namun menghidap ketidakupayaan intelektual (masalah pembelajaran) dan dikategorikan sebagai kurang upaya.

Sumber dan kredit foto: Sinar Harian

#Sukan #Atlet Negara #Latif Romly #Atlet Paralimpik #Ganjaran #Atlet Paralimpik Negara #Abdul Latif Romly
;