Laman Utama

Tempurung Kepala Gbob Dipasang Semula Esok

Fiza Kamarudin
11/09/2020
13:03 MYT
Sponsor Banner
Tempurung Kepala Gbob Dipasang Semula Esok
Isteri kepada pelawak dan pelakon Gbob, Siti Aisyah Wahiddin memberitahu suaminya akan menjalani pembedahan memasang semula tempurung kepala di Hospital Kuala Lumpur, esok.
Aisyah berkata, suaminya kelihatan amat positif buat masa ini dan menyatakan hasrat untuk kembali ke dunia seni selepas kembali pulih seperti sediakala.
“Pembedahan dijangka berlangsung esok pagi dan akan mengambil masa selama satu jam. Tempurung kepala suami yang disimpan sejak Mac lalu akan dipasang semula.
“Alhamdulillah dia nampak positif dan tak sabar nak tunggu pembedahan selesai. Dia kata nak buat fisio dan ikut semua rawatan agar boleh kembali seperti dulu.
“Sekarang ini dia tak boleh berjalan sepenuhnya dan belum boleh uruskan diri sendiri kerana anggota sebelah kanan badannya masih lemah.
"Kata doktor, sekiranya selepas pembedahan pun suami masih lagi sukar untuk bergerak dan proses berkomunikasi masih sukar, dia akan disyorkan tinggal di pusat rehab samada di Melaka atau di Cheras.
"Ia perlu dilakukan untuk proses pemulihan sepenuhnya," katanya.
Mengulas mengenai pembiayaan pembedahan suaminya itu, Aisyah berkata dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri kerana tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.
Katanya dia buntu untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak dalam jangka masa singkat.
"Buat masa ini belum ada lagi apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk persatuan artis.
"Kos pembedahan sebenar belum diketahui lagi. Bagaimanapun harga titanium plate untuk pembedahan berjumlah RM600 dan saya gunakan duit sendiri.
"Doktor bagi masa untuk cari jumlah itu dalam masa sebulan sahaja. Nak tak nak, saya kenalah guna duit sendiri.
“Kos keseluruhan pembedahan hanya akan diketahui apabila suami dibenarkan keluar dari hospital nanti.
"Sebagai persediaan, saya kini dalam proses untuk hantar permohonan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Sebelum masuk dunia seni, suami pernah kerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai pengurus bahagian penyediaan makanan dan minuman.
"Jadi dia pernah mencarum dalam Perkeso. Apapun saya mengalu-alukan sekiranya orang ramai masih nak menghulurkan bantuan kepada kami tak kisahlah lampin pakai buang dewasa pun," katanya.
Gbob, 33, atau nama sebenarnya Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
Kecederaan tersebut menyebabkan doktor terpaksa mencabut tempurung kepalanya bagi menjalani pembedahan membuang darah beku.
Foto/Sumber: Harian Metro, Instagram Jibob
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar