Laman Utama

Terciduk Bersenam Lagu Aduh Bang Jago Di Tengah Rampasan Kuasa di Myanmar, Video Ini Asli Atau Diedit?

Maliah Surip
03/02/2021
05:50 MYT
Sponsor Banner
Terciduk Bersenam Lagu Aduh Bang Jago Di Tengah Rampasan Kuasa di Myanmar, Video Ini Asli Atau Diedit?
Sejak semalam video seorang wanita sedang asyik bersenam dan menari mengikut rentak lagu yang cukup popular di aplikasi Tik Tok, Aduh Bang Jago di tengah kemelut rampasan kuasa di Myanmar yang terjadi pada Isnin lalu menjadi viral.
Wanita yang dikenali sebagai Khing Hnin Wai itu merupakan seorang jurulatih kecergasan.
Dia didapati menari di tengah bulatan di jalan yang dikenali sebagai Yaza Htarni, tak jauh dari bangunan parlimen di bandaraya Nay Pyi Taw.
Menerusi video yang tular tersebut, Hnin Wai dilihat selamba menari mengikut rentak lagu dari Indonesia itu tanpa menyedari sedang berlatar belakangkan rampasan kuasa tentera selepas pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Aung San Suu Kyi ditahan.
Video tersebut tular dan menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen. Banyak yang kagum dengan kejadian 'bersejarah' itu, namun tak kurang yang mempersoalkan adakah video tersebut asli.
Menjawab persoalan netizen mengenai aksinya itu, Hnin Wai menafikan video tersebut telah diedit dan sengaja mencari sensasi dengan mengambil kesempatan terhadap peristiwa penting yang berlaku di negaranya untuk popular.
Dia mendakwa telah menjadikan lokasi tersebut sebagai 'tempat kegemarannya' bersenam sejak 11 bulan yang lalu. Dia turut menampilkan video klip lama dengan rutin senaman yang sama sebagai bukti, lapor BBC.
"Saya tidak melakukannya (bersenam) sebagai sebuah gimik atau mempermainkan apa yang sedang berlaku di negara saya.
"Saya hanya sedang berlatih menari untuk sebuah pertandingan," tulisnya di Facebook.
Menurut wanita itu lagi, dia bukan tidak menyedari situasi yang terjadi saat itu.
"Saya sedar ada konvoi tentera, tapi saya ingat ia hanya sebuah konvoi yang biasa dilakukan. Jadi saya meneruskan senaman," tulisnya lagi.
Malah dia menyifatkan apa yang terjadi sebagai sebuah memori buatnya.
"Sewaktu saya melakukan aksi ini dan merakamkannya, saya tidak sedar bahawa sedang terjadi rampasan kuasa yang diumumkan pada pagi hari yang sama. Ini memori!" katanya.
Pada Isnin, junta tentera Myanmar telah menguasai negara itu dan mengisytiharkan darurat selama setahun, menurut pengumuman Pejabat Presiden Myanmar menerusi Irrawaddy TV, stesen penyiaran milik tentera. Kredit Foto: NSPR
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar