“Terima Kasih Ajar Buat Roti Jala & Cendol” - Khairul Aming Terima Penghargaan PM New Zealand, Siap Puji Makanan Malaysia Sedap
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming berkongsi rasa terujanya apabila menerima surat penghargaan daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Khairul Aming menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya melampirkan surat diutus Christopher yang menzahirkan ucapan terima kasih atas layanan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang pertemuan mereka.
Antara yang menarik perhatian netizen adalah apabila Christopher memberitahu Khairul Aming telah mengajar cara untuk melakukan hidangan popular di Malaysia iaitu Roti Jalan dan Cendol.
“Terima kasih kerana meluangkan masa mengajar saya cara menyediakan roti jala dan cendol serta menyajikan hidangan yang lazat meskipun anda mempunyai jadual yang padat.
“Dengarnya video sarapan kita sudah pun mencecah lapan juta tontonan di Instagram (IG) hanya dalam masa beberapa hari sahaja, itu pencapaian yang sangat luar biasa,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN:#GempakNews: Khairul Aming Pimpin Bacaan Ikrar Di Keretapi Sarong 2024.
“Selepas mengetahui kisah kamu, pada sangat memberikan inspirasi. Kamu bermula dengan melakukan video memasak secara kecil-kecilan semasa penghujung Covid-19.
“Sehinggalah berjaya mengecapi kejayaan masa kini termasuklah penghasilan sambal yang diminati ramai. Industri pelancongan New Zealand tentunya menghargai usaha anda selepas menyaksikan pengaruh yang dibawa,” coretnya.
Sementara itu, Khairul Aming juga berharap agar orang ramai dapat mendoakannya supaya terus menghasilkan konten yang boleh mengharumkan nama negara.
“Doakan agar kami dapat teruskan buat konten yang harumkan nama Malaysia di mata dunia,” tulisnya.
Terdahulu, pada 3 September lalu, Khairul Aming menyambut kedatangan Luxon di restoran Hidang KL dan sempat menyediakan hidangan sarapan berupa roti jala hasil air tangannya sendiri serta teh tarik.