"Terima Kasih Semua Peminat Seni" - Wow! Lukisan Pemandangan Bukit Ini Dijual Lebih Setengah Juta Ringgit?
Siapa kata karya seni tidak mendapat sambutan? Buktinya sebuah lukisan memaparkan pemandangan bukit mampu terjual melebihi nilai setengah juta ringgit Malaysia!
Menerusi majlis dianjurkan syarikat Henry Butcher Malaysian dan Southeast Asian Art Auction baru-baru ini, sebanyak RM 4.27 juta berjaya diraih membabitkan beberapa seni lukisan.
Menurut Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, penjualan kali ini mencapai tahap penjualan yang tinggi dengan 120 lot terjual, mencerminkan minat yang berterusan terhadap karya seni yang berkualiti tinggi.
"Pencapaian penjualan kali ini memang luar biasa, kami mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong and peminat seni.
"Jualan tertinggi yang dicatatkan adalah karya Datuk Ibrahim Hussein, Pemandangan Bukit (1984) dijual pada harga RM 588,000, dikuti oleh karya Datuk Syed Ahmad Jamal, Kampung Sungai Cincin (2002) yang dijual pada harga RM 470,400.
"Pembidaan bermula pada RM 235,000," katanya.
Jelasnya, satu karya penting berjudul Pago-Pago oleh Abdul Latiff Mohidin mencapai RM 442,400 sementara karya berjudul Rebirth yang tidak dijual semasa lelongan, dijual terus selepas acara lelongan.
"Sebuah karya berjudul Zakwan (1987) oleh Yusof Ghani dari Siri Tari, mencapai harga jualan RM 403,200, di mana pembidaan bermula pada RM 200,000.
"Karya Eng Hwee Chu berjudul Black Moon 13 (1992), mencapai harga RM 252,000, di mana pembidaan bermula pada RM 150.000." katanya.
Tambah beliau, pengumpul-pengumpul seni juga mengambil kesempatan untuk membida karya artis-artis dari Asia Tenggara.
"Karya Lim Te Peng (dari Singapura) Songs Of The Heart dijual pada harga RM 52,640. Kara Bui Xuan Phai (dari Vietnam) dijual pada RM 44,800; manakala dua karya Nguyen Tu Nghiem dijual pada RM 28,000 sekeping.
"Semakin ramai yang mengumpul karya seni, terutamanya golongan muda yang berusia antara 36 ke 46 tahun. Ini sesuatu yang amat merangsangkan," katanya.