Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Terkenang Zaman Beraksi Di Pasar Seni, Sani Sudin Cukup Hanya Ada RM5 Dalam Poket

Elrafaei Sapi 07/05/2018 | 14:56 MYT
Penyanyi kumpulan Kopratasa yang juga aktivis puisi, Sani Sudin mengakui Pasar Seni Kuala Lumpur menjadi antara lokasi penting dalam hidupnya sebagai anak seni yang belajar aspek lakonan.
Jelasnya, ketika itu dia pernah beraksi depan khalayak menerusi sajak dan puisi yang dipersembahkan.
"Pada masa itu, saya suka bercakap di bawah tiang lampu sambil membaca sajak. Siapa berani mencangkung macam nak berak sehingga orang ketawa. Saya sengaja buat aksi sebegitu sebab nak tengok reaksi orang sekeliling," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, aksi yang dipertontonkan itu sebenarnya secara tidak langsung menjadi latihan pada dirinya untuk berteater dan berlakon.
"Masa itu saya tak main muzik cuma menggunakan kata-kata dengan membaca sajak," katanya.
Zaman berlalu, Sani berpandangan Pasar Seni kini sudah banyak berubah dan menjadi kawasan tumpuan peniaga.
"Semua orang nak berniaga di situ. Aktivis seni kadang-kadang terlempar begitu saja.
"Memang orang seni perlukan duit untuk bergerak dan berkarya, begitu juga semua orang perlukan duit. Bagi saya, orang bodoh boleh belajar jadi pandai tapi orang munafik terus bersikap hipokrit," katanya.
Sani yang selesa tampil dengan imej kasual menyatakan ia adalah gambaran diri sendiri.
"Apa yang penting, dalam poket ada RM5 cukup untuk saya jalan kaki atau naik bas dan minum teh tarik.
"Kadang-kadang orang tegur macam saya tiada kerja tapi dalam otak ligat berfikir cari ilham sehingga jadi buku, lagu dan drama," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak & Central Market Kuala Lumpur (Facebook)
#Sani Sudin #Pasar Seni
;