Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Terpegun & Meremang Bulu Roma…”- Pengalaman Seram Aprena Manrose Dalam Hantu Mok Joh

Syafiqah Jalal 16/02/2022 | 14:40 MYT
Pelakon Aprena Manrose akui terpegun sehingga meremang bulu roma apabila pertama kali menonton persembahan Mak Yong ketika penggambaran Hantu Mok Joh pada September tahun lalu.
Kata Aprena dia tidak menyangka tarian budaya Kelantan itu benar-benar membuatkannya rasa menyeramkan.
“Sebenarnya ini pertama kali saya tengok persembahan Mak Yong. Sebelum ini hanya tahu dan dengar macam itu sahaja cerita mengenai tarian ini.
“Ada satu babak tu, kanak-kanak ini buat persembahan Mak Yong dan saya yang tengok ni terus rasa terpegun dan meremang bulu roma mendengar lagu-lagunya serta lenggok tarian yan dipersembahkan.
“Saya pernah dengar orang kata Mak Yong ini ada berkait rapat dengan ilmu hitam atau guna-guna budaya Siam atau Thailand. Tak sangka bila lihat depan mata seram juga rasanya,” katanya.
Aprena dihubungi Astro Gempak untuk bercerita lanjut mengenai filem lakonannya Hantu Mok Joh yang bakal menemui penonton Astro First mulai esok, 17 Februari.
Mengulas lanjut mengenai wataknya sebagai Dek Na di dalam Hantu Mok Joh, Aprena memberitahu dia akui agak mencabar apabila perlu berdialog dalam dialek Kelantan meskipun ibunya berasal dari negeri itu.
“Sepanjang penggambaran ini saya berdialog dalam dialek Kelantan dan ia agak mencabar. Sejujurnya saya tidak lah boleh bercakap dialek Kelantan dengan lancar kerana keluarga saya menetap di Kuala Lumpur dan hanya sekali sekala pulang ke kampung Kelantan.
“Jadi dialog saya dalam filem ini bila orang dengar macam orang Kelantan yang kedengaran lenggok Thailand sedikit. Nasib baik kami ada guru yang beri banyak panduan dan tunjuk ajar ketika di set,” katanya lagi.
Selain Aprena filem seram komedi itu dibintangi pelakon lain seperti Fauziah Nawi, Amerul Affendi, Amir Raja Lawak dan ramai lagi.
Hantu Mok Joh menceritakan mengenai Mok Joh yang mempunyai pelbagai andaian rentetan dari kehilangan Mok Joh. Antara yang paling popular ialah Mok Joh mati kerana melanggar sumpah Saka Mak Yong yang dipeliharanya. Namun yang menjadi misteri ialah, sehingga kini jenazah Mok Joh masih belum ditemui.
Dalam masa yang sama, penduduk kampung mula diganggu makhluk yang dikatakan sebagai hantu Mok Joh. Kedai Kopi Pok Heng yang selama ini kekurangan pelanggan, kini menjadi ruang para penduduk membincangkan isu panas tersebut. Yem yang mendapat khabar tentang berita kehilangan ibu saudaranya itu segera berangkat pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk mencari cerita yang sebenar.
Saksikan Hantu Mok Joh di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 pada 17 Februari ini.
#Aprena Manrose #Seram #Mak Yong #Hantu Mok Joh
;