Laman Utama
TFEKL23 Bakal Menjadi Pertunjukan Fesyen Pertama Yang Diadakan Di Sky Deck, Menara KL
Bersempena sambutan Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia, sebuah acara pertunjukan fesyen, Tower Fashion Eleganza Kuala Lumpur 2023 (TFEKL23) yang berkemungkinan mencipta rekod tersendiri akan diadakan pada 9 September depan bertempat di Sky Deck, Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Pengasas dan Pengarah Bon Fashion Legacy dan TFEKL23, Bon Zainal Harun berkata, dia begitu berbangga dengan idea yang bakal direalisasikan ini terutama sekali kerjasama hebat yang ditunjukkan oleh para kolaborator yang amat saya hormati seperti Menara Kuala Lumpur, Tourism Malaysia, DBKL dan KL Hop On Hop Off.
“Ketika saya mula-mula menyuarakan hasrat untuk menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen di Sky Deck, Menara KL, ramai yang menyatakan bahawa idea itu mungkin tidak masuk akal. Namun, faktor tersebut jugalah yang mendorong saya untuk berusaha menjadikannya satu kenyataan.
“Bersama-sama dengan pasukan TFEKL23 yang terdiri dari pakar di bidang masing-masing, saya percaya TFEKL23 akan menjadi titik permulaan kepada suatu yang sangat besar di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berkata, pihak Menara KL, berharap agar acara ini akan menjadi acara tahunan berdasarkan impak positif yang bakal diterima bukan sahaja bagi industri pelancongan malah industri fesyen negara.
“Kedua-dua industri ini adalah di antara industri yang amat terjejas ketika dunia dilanda pandemik dan dengan adanya acara seperti ini, ia pasti menyumbang kepada inisiatif pembaikpulihan ekonomi negara.
“Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan semua yang terlibat untuk menjayakan TFEKL23,” katanya.
Acara yang pertama kali diadakan ini bakal menyaksikan kehebatan karya fesyen daripada 15 pereka fesyen terbaik Malaysia, antaranya Radzuwan Radziwil, Carven Ong, Bon Zainal, Fizi Woo, Rasta Rashid, Kalima dan Leslie Variyan.
Pihak TFEKL23 akan mengumumkan senarai lengkap para pereka yang terpilih secara rasmi kelak. Menggalas tugas memperagakan busana-busana eksklusif tersebut adalah lebih daripada 75 model yang paling hangat di ibu kota.
Para pereka fesyen dipilih berdasarkan nilai estetika yang tinggi, hasil kerja dengan kualiti yang diiktiraf, kreativiti serta ilmu teknikal yang mendalam, reputasi hebat di dalam industri fesyen negara serta keunikan tersendiri. Mereka akan mempersembahkan koleksi yang khusus direka dan dihasilkan buat TFEKL23 dengan gabungan elemen moden, tradisi, penuh bergata, inovatif dan tentu sekali tahap elegan serta keanggunan yang paling tinggi.
TFEKL23 diilhamkan dan dianjurkan oleh Bon Fashion Legacy dan Nuunaa Management. Acara tersebut juga telah mengumpulkan kolaborator dinamik yang merupakan kapten industri masing-masing seperti Menara Kuala Lumpur, Tourism Malaysia, DBKL, KL Hop on Hop Off dan Gentlemen’s Code.
Dibina di puncak Bukit Nanas pada ketinggian 421 meter, Menara KL direka dengan menggabungkan senibina moden bersama alam semulajadi. Bukit nanas adalah rizab hutan simpanan yang tertua di Malaysia di mana ia digazetkan pada tahun 1906 dan dikenali sebelum ini sebagai ‘Bucket Weld Forest Reserve’. Meliputi keluasan 9.37 hektar, Hutan Simpan Bukit Nanas adalah satu-satunya hutan dara tropika yang masih tinggal di Kuala Lumpur dan Menara KL pula adalah satu-satunya menara di dunia yang dibina dikelilingi hutan semulajadi menambahkan aura serta tarikan menara tersebut.
Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia diraikan setiap tahun pada tarikh 3 September, bersamaan juga dengan hari kelahiran arkitek Amerika Syarikat iaitu Louis H. Sullivan, yang juga dikenali sebagai Bapa Bangunan Pencakar Langit. Pada satu ketika, negara Amerika Syarikat bagaikan memonopoli senarai bangunan pencakar langit di dunia.
Kehadiran China sebagai kuasa ekonomi dan kini merupakan kedua terbesar di dunia menyaksikan lebih 3,000 bangunan pencakar langit di bina dalam tempoh tiga dekad yang lepas. Negara-negara lain seperti Arab Saudi juga telah mula menunjukkan taring dengan pembinaan bangunan pencakar langit ikonik seperti Burj Khalifa.