Berita
Thailand Perkenal Visa Muay Thai, Tarik Pelancong Datang Belajar Seni Pertahankan Diri
Thailand akan memperkenalkan satu skim visa khas kepada pelancong asing yang mengunjungi negara ini bagi mempelajari sukan seni mempertahankan diri, Muay Thai.
Portal Thaiger melaporkan, langkah ini sekali gus membolehkan pelancong dapat melanjutkan tempoh tinggal dari 60 hari hingga 90 hari.
Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Strategi Kuasa Lembut (Soft Power) Kebangsaan bagi mempromosikan kuasa lembut di Thailand.
Jawatankuasa itu bertujuan mempromosikan kuasa lembut dalam 11 bidang termasuk festival, pelancongan, makanan, seni, reka bentuk, sukan, muzik, buku, filem, drama dan siri, fesyen, permainan termasuk Muay Thai.
Susulan rancangan itu, Penasihat Perdana Menteri, Pimon Sriwikorn mengumumkan pada 12 Januari bahawa Thailand akan memperkenalkan satu visa khas bagi pelancong asing yang berminat mempelajari latihan Muay Thai.
Kebiasaannya, pelancong asing yang datang ke Thailand untuk berlatih seni mempertahankan diri itu boleh tinggal selama 60 hari dengan visa pelancong, tetapi dengan visa khas ini mereka boleh menginap sehingga 90 hari.
Bagaimanapun, Pimon tidak mendedahkan bila visa khas itu akan tersedia.
Sumber: Sinar Harian