Hiburan

#ThrowbackGempak2019: Belasungkawa - Antara Bintang Seni Yang Pergi Takkan Kembali Lagi

Zulaikha Yusof
31/12/2019
01:07 MYT
Sponsor Banner
#ThrowbackGempak2019: Belasungkawa - Antara Bintang Seni Yang Pergi Takkan Kembali Lagi
Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Tiada yang kekal di dunia, semuanya bersifat sementara.
Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian ramai bintang seni sepanjang tahun 2019.
Kehilangan insan yang banyak berjasa dalam industri perfileman dan lakonan memberi kesan yang mendalam terhadap rakan selebriti dan juga peminat.
1. Wafa Abdul Kadir (16 Mac)
Pelakon filem Azizah The Legend, Wafa Abdul Kadir meninggal dunia di kediamannya lebih kurang pukul 1.10 pagi tadi.
Arwah mengidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku.
2. Dahlan Zainuddin (28 Mei)
Penghibur era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas tidak sedarkan diri kerana diserang angin ahmar.
Dahlan merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan.
3. Datuk A Rahman Hassan (13 Jun)
Penyanyi era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang pada jam 12.40 malam.
Arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.
4. Halil Chik (30 Jun)
Penyanyi era 80-an Halil Chik meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung ringan di Hospital Ampang, jam 7 pagi.
Sebelum ini, arwah dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Ampang selepas jatuh dari katil di kediamannya di Bukit Antarabangsa jam 9 malam, pada 19 Jun.
5. Raja Ahmad Alaudin (29 Ogos)
Pengarah drama, Raja Ahmad Alaudin disahkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, jam 6 pagi.
Arwah dipercayai meninggal dunia ketika tidur.
Antara drama popular arahannya, Curi Curi Cinta, Ariana Rose dan filem seperti Lurah Dendam, Hati Bukan Kristal, Kayangan dan banyak lagi.
6. Yazit Search (26 September)
Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira pukul 11.53 pagi.
Arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
5. Shazroul AF4 (2 Oktober)
Bintang Akademi Fantasia 4 (AF4) Shazroul Fazlie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 6.20 petang.
Arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus selepas dimasukkan ke hospital buat kali kedua pada 21 September.
6. Ben Kanobi (10 Oktober)
Pelakon komedi veteran dan kru produksi, Ramli Harun atau lebih dikenali sebagai Ben Kanobi meninggal dunia di Hospital Ampang akibat serangan jantung.
Arwah ketika hayatnya banyak terbabit di belakang tabir selain turut berlakon dalam beberapa filem arahan Aziz M Osman.
7. Kamal Chilok (12 Oktober)
Bekas peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018, Kamal yang juga anggota kumpulan Chilok menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya kira-kira jam 4.40 petang.
Terdahulu, Kamal dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 10 Oktober.
8. Pitt Hanif (27 Oktober)
Anak kepada pengarah yang juga anak kepada aktres Fauziah Nawi, Pitt Hanif dilaporkan lemas ketika memancing selepas bot yang dinaiki di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang karam sekitar pukul 1 tengah hari.
Pengarah filem 'Coast Guard' itu meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad dan tiga orang cahaya mata.
9. Mas Omar (9 November)
Bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis Mohammad Omar atau lebih dikenali dengan nama Mas Omar meninggal dunia di rumahnya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, akibat sesak nafas jam 2.50 pagi.
Ketika hayatnya, arwah pernah bertugas di syarikat rakaman BMG, EMI dan SRC serta turut menguruskan ramai artis popular antaranya Datuk Nassier Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jefrydin.
10. Datuk Nassier Wahab (5 Disember)
Penyanyi Datuk Nassier Wahab meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Arwah pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 pagi.
Peserta Gegar Vaganza meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf dan seorang anak, Intan Najihah.
Dalam pada itu, terdapat beberapa orang anak selebriti yang telah kembali mengadap Ilahi.
1. Anak Ali Puteh (26 November)
Anak pelawak Ali Puteh, Sharifah Nur Ainul Mardhiah, yang berusia tiga bulan telah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung kira-kira jam 11.30 pagi.
Bayi perempuan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu itu dikesan berdepan masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.
2. Anak Abby Abadi (7 Disember)
Bayi pramatang pasangan Abby Abadi dan suami, Muhammad Faizal disahkan meninggal dunia selepas dilahirkan pada 27 September.
Bayi yang diberi nama Muhammad Danial Firman atau Baby D itu dilahirkan dengan berat 535 gram.
Danial meninggal dunia selepas 72 hari dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.
3. Anak Nora Ariffin (14 Disember)
Selepas dua tahun kehilangan suaminya, Johan Nawawi, penyanyi terkenal, Nora Ariffin sekali lagi diuji dengan dugaan apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir.
Arwah dipercayai meninggal dunia secara mengejut di rumahnya dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Nora memberitahu hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pakar perubatan pada jenazah anaknya tidak menemui sebarang petunjuk yang pelik.
4. Anak Azian Mazwan Sapuwan (16 Disember)
Selepas tiga minggu berada dalam keadaan koma, anak kepada penyanyi era-80an Azian Mazwan Sapuwan, menghembuskan nafas terakhirnya.
Mohamad Aqil Zulkarnain meninggal dunia jam 11.30 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital tersebut kerana terlibat dalam kemalangan pada 22 November.
Gempak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga. Jasa dan sumbangan mereka akan sentiasa dikenang.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024