Tiada Penaja Nak Bekerjasama, Tomok Kumpul Duit Sendiri Untuk Konsert New Boyz - “Tak Ada La Sampai Berjuta…”
Bersyukur tiket habis dijual dalam masa 24 jam, penyanyi Tomok mendedahkan dia yang mengeluarkan wang sendiri untuk menjayakan konsert New Boyz pada Februari 2023.
Merahsiakan jumlah bajet yang dikeluarkan, Tomok mengakui dia pernah mencuba untuk mendapatkan penaja di beberapa tempat namun usahanya gagal.
“Alhamdulillh, saya sudah tempah dewan sejak Mei lalu. Ikutkan kita nak adakan konsert pada bulan 10 tapi venue pula tak ada, yang ada Februari saja… yang terus booking.
“Berkenaan dengan kos atau bajet tu, tak ada la sampai berjuta. Sebelum ini saya pernah la cari penaja tapi tak berjaya, ada la pergi beberapa tempat tapi tak ada respon yang baik.
“Jadi, tak apa la saya kumpul duit sikit-sikit untuk konsert New Boyz ini. Bukan konsert yang besar tapi Alhamdulillah, sokongan peminat itu sangat terharu,” katanya kepada Gempak.
Tomok berkongsi perkara tersebut ketika di sidang media selepas selesai konsert minggu suku akhir Gegar Vaganza 9 (GV9) yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad lalu.
Konsert New Boyz bakal berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 Februari 2023.
Menurut Tomok, dia mahu membawa semua peminatnya mengimbau kembali zaman remaja dengan turut bersama menyanyikan lagu-lagu hit kumpulannya.
"Bagi saya ini adalah satu penghargaan buat peminat. Saya nak bawa mereka imbau kembali lagu-lagu yang mereka suka ketika zaman remaja dulu… menyanyi sama-sama.
“Sebab saya tahu, ramai peminat yang sekarang sudah berumah tangga dan rindu dengan zaman tu,” ujarnya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!