Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Tidak Gunakan Pelbagai Prop, Khai Bahar Ingin Fokus Kepada Nyanyian

Zulaikha Yusof 24/01/2019 | 05:23 MYT
Panyanyi Khai Bahar mendedahkan ingin memberi tumpuan kepada nyanyian di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Menurut Khai, untuk tahun ini dia tidak akan menggunakan pelbagai prop seperti tahun lepas.
"Saya masih dalam persediaan untuk AJL. Untuk kali ini, kami tidak melakukan banyak perkara seperti tahun lalu.
"Kalau tahun lepas ada api, kali ini tidak ada. Saya tidak mahu memeningkan kepala memikirkannya.
"Saya hanya ingin memberi fokus kepada nyanyian," katanya kepada Gempak.
Khai ditemui pada majlis pelantikkannya bersama Azadan (Rabbani) dan Da'i Irfan sebagai ikon agensi umrah Raza Holiday Sdn Bhd di Restoran Rebung.
Tambah pelantun lagu Luluh ini, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk AJL33.
"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi namun akan melakukan sebaik yang mungkin.
"Saya tidak ingin mengulangi kesilapan yang tidak memuaskan hati saya ketika persembahan yang lalu," katanya lagi.
Selain Luluh yang merupakan ciptaan Khai sendiri, pentas AJL33 turut membariskan 11 lagi finalis iaitu Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Hajat (Hael Husaini), Bunga (DeFam), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman RA), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Kau Pun Sama (Syamel) dan Bunga (Ara Johari).
AJL33 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari depan.
#Khai Bahar #AJL33
;