Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Tidur Selama Dua Jam, Dimarahi Sifu M Nasir Antara Pengalaman Manis Mawi Sebagai Anak Seni

Elrafaei Sapi 06/08/2018 | 06:35 MYT
Dalam sejarah penganjuran program Akademi Fantasia, Mawi membuktikan kemenangannya sebagai juara musim ketiga mencetuskan fenomena yang luar biasa sehingga membawa gelombang Tsumawi.
Selepas bergelar juara pada tahun 2005, aura Mawi sebagai artis baru sangat memberi pengaruh besar pada peminat. Ketika itu, Mawi tidak menang tangan memenuhi jemputan mengadakan persembahan pentas.
Malah, ke mana saja selebriti yang berasal dari Felda Taib Andak, Johor ini pergi, dia juga menjadi buruan media sehingga sering menjadi berita muka depan di akhbar.
Bekas Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Datuk Freddie Fernandez mengakui Mawi sangat komited terhadap kerjaya seninya sejak di peringkat awal menjadi artis.
“Pernah dalam satu persembahan di Johor selepas dia habis jam 2 pagi dan selepas itu, pada jam 9 pagi dia mempunyai sidang media di Kuala Lumpur.
“Bayangkan dia hanya tidur selama 2 jam sebelum saya kejutkan dia pada jam 8.30 pagi. Saya kagum dengan Mawi walaupun dia tidak cukup tidur tapi dia memberikan sepenuh komitmen untuk hadir pada sidang media itu,” katanya pada majlis #throwback Menggamit Memori Mawi & Friends di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mawi pula yang kini selesa menjadi penyampai radio Zayan turut menyatakan penghargaan pada Freddie yang banyak membantunya ketika bersama Maestro.
Bagi rakan artis, Rahim Sepahtu yang turut hadir pada majlis itu menyifatkan kejayaan Mawi sehingga kini adalah hasil kerja keras dan disiplin.
Komposer, Sheikh Qalam juga berkongsi antara kenangan manis bersama Mawi ketika mereka terbabit dalam rakaman single pertama, Aduh Saleha di Studio Luncai Emas, Sungai Buloh, Selangor.
“Bayangkan rakaman lagu tersebut dibuat selama 16 jam dari tengah malam sehingga masuk waktu bersahur.
“Itu pengalaman pertama kali Mawi buat rakaman di studio. Pada masa itu, dia tidak tahu cara rakaman dan kena marah dengan sifu Datuk M Nasir adalah perkara biasa,” katanya.
Pada malis anjuran Al-Najwa Production dan Mawi World Entertainment dengan kerjasama Mawi FC dan Sahabat Dunia Mawi, beberapa rakan artis hadir meraikan Mawi antaranya pelakon senior, Roy Azman, Shah Slam, Oja Tunable Band dan rakan penyampai Zayan, Anas Tahir serta Raqib Majid.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
#Mawi #Freddie Fernandez #M Nasir
;