Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Tiga Artis Dari Tiga Negara Rancakkan Label Naungan Baru Sony Music Entertainment

Asraf Aided 23/03/2021 | 12:51 MYT
Label antarabangsa, Sony Music Entertainment tampil dengan label naungan terbaru mereka yang diberi nama OFFMUTE.
Fokus utama label ini adalah untuk memperkasakan bakat pendatang baharu dari Asia Tenggara dengan menggunakan pengalaman hasil gabungan seluruh pasukan Sony Music di rantau ini.
OFFMUTE membuka peluang kepada mana-mana artis dari pelbagai genre untuk memajukan karier muzik dalam mengejar visi kreatif mereka. Label baharu ini turut memberi sokongan kepada artis-artis serata Asia Tenggara ini dalam mengembangkan capaian muzik mereka.
Menggunakan kepakaran dan sumber terbaik Sony Music di seluruh dunia, OFFMUTE akan membantu mereka meraih pengikut lebih ramai menerusi kaedah rangka promosi dan strategi pemasaran yang rancak.
“OFFMUTE adalah label sulung dalam kategorinya sendiri di dalam dunia. Ia bertujuan mengangkat kekayaan budaya serta kepelbagaian yang ditawarkan dari Asia Tenggara.
"Matlamat OFFMUTE juga adalah menaikkan artis dengan bantuan pakar serta menggunakan jaringan terbaik dalam memastikan mereka berjaya mencipta nama besar di rantau ini,” kata Presiden, Perkembangan Pemasaran & Strategi Asia dan Timur Tengah Sony Music Entertainment, Shridhar Subramaniam.
Tambahnya, peluang tersebut pasti mengujakan barisan artis baru naungan mereka.
“Peluang itu semestinya cukup mengujakan buat artis generasi baharu di rantau ini dan kami tidak sabar untuk membantu mereka serlahkan potensi diri pada tahun-tahun mendatang," katanya lagi.
Penyanyi Malaysia, Liesl-mae turut dipilih melengkapkan senarai bakat muzik dari pelbagai negara untuk label ini. liesl-mae mula mencipta nama dalam industri muzik Malaysia dengan berbekalkan corak nyanyian yang begitu lembut dan cukup merdu.
Liesl-mae merancang untuk menghasilkan lagu baharu dan berkolaborasi dengan rakan artis di bawal label baharu ini dan juga mahu memanfaatkan platform terbarunya ini untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.
Menurut pengurus besar Sony Music Malaysia, Aziana Ali, beliau amat berpuas hati kerana Liesl dapat menyertai barisan artis OFFMUTE yang ditampilkan.
“Saya berbesar-hati dan bertuah liesl menyertai barisan artis yang kami tampilkan.
“Kami tidak sabar untuk mengembangkan bakat serta kongsikan kehebatan muziknya di mata dunia," katanya.
OFFMUTE menampilkan Liesl dan artis-artis dari Indonesia dan Filipina iaitu Mezzaluna dan Clara Blenin.
#Label #OFFMUTE #Sony Music Entertainment
;