Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Tiga Tahun Menduda, Haniff Hamzah Lalui Dua Sesi Kaunseling Selepas Bercerai - "Dah Habis Layan Trauma, Saya Rasa Lega"

Amri Hassan 15/11/2021 | 01:50 MYT
Penyampai radio Era, Haniff Hamzah mengakui berdepan episod trauma selepas bercerai dengan bekas isterinya sejak tiga tahun lalu.
Jelas Haniff, dia telah menjalani dua kali sesi kaunseling bersama doktor pakar bagi mengurangkan trauma yang dialaminya.
"Semua orang yang melalui episod perceraian akan melalui fasa trauma. Macam mana dia layan trauma itu adalah hak dia. Sejujurnya saya dah habis layan trauma yang saya lalui.
"Saya ada berjumpa dengan doktor pakar dan mendapatkan rawatan sebanyak dua sesi di klinik berbeza.
"Saya bulatkan hati nak jalani rawatan itu pun sebab kawan saya yang syorkan kerana saya seorang yang kuat berahsia. Jadi dia nasihatkan untuk saya kongsikan segala masalah kepada individu tidak dikenali," katanya kepada Gempak.
Haniff yang ditemui pada majlis pengumuman Dynas Mokhtar sebagai rakan kerjasama Black G Nutrima dan Shopee di Petaling Jaya baru-baru ini memberitahu dia kini sudah boleh melupakan episod hitam rumah tangganya itu.
"Saya tak sangka selepas menceritakan segala yang terbuku di hati akhirnya saya berasa lega dan boleh 'move on'.
"Saya juga nak cadangkan kepada pasangan yang ada masalah rumah tangga untuk mendapatkan rawatan kaunseling kerana ia sangat membantu," tambahnya.
Tiga tahun menduda, Haniff tidak terfikir untuk mencari teman pengganti sebaliknya mahu mengukuhkan kewangannya terlebih dahulu.
"Saya tak nak lalui 'roller coaster' sehingga satu tahap saya sendiri sudah selesa dengan keadaan sekitar, barulah saya akan mencari pasangan hidup.
"Lagipun pada usia 60 tahun pun saya boleh bercinta lagi. Saya yakin yang bercinta ini bukan semata-mata untuk hubungan intim saja, tapi lebih kepada kasih sayang dan saling melengkapi.
"Saya juga akui hubungan yang lebih daripada persahabatan ini juga ada pasang surutnya. Jadi saya seboleh mungkin nak elakkan benda itu buat masa ini. Memanglah saya boleh bangkit dan bersama tapi saya tak perlukan pengganti lagi," katanya.
Hanif berkahwin dengan Wan Katherina pada 12 Jun 2010. Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Tuah Kaliff, 8, dan Jebat Kaliff, 7.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
#Anak #Dynas Mokhtar #cerai #Deejay #Duda #Era #Haniff Hamzah #Kaunseling
;