Laman Utama
Tiger Woods Mungkin Tak Dapat Kembali Aktif?
Tiger Woods yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di Los Angeles pada Selasa, dilaporkan sukar untuk pulih, lapor AWANI.
Malah, menurut pakar perubatan ortopedik, atlet itu mungkin tidak akan berpeluang kembali sebagai pemain golf profesional lagi selepas ini.
Pada Rabu, pasukan perubatan selesai melakukan pembedahan ke atas Woods selepas bintang golf itu mengalami beberapa kecederaan di kaki susulan kemalangan tersebut.
Batang besi dan beberapa skru serta pin dimasukkan selepas pemain golf Amerika Syarikat itu patah di beberapa bahagian kakinya selain buku lalinya yang hancur.
"Secara peribadi, sebagai peminat Tiger Woods, saya boleh katakan, malang sekali, tidak mungkin beliau akan kembali sebagai pemain golf profesional selepas alami kecederaan ini.
"Ia sudah pasti sesuatu yang sukar untuk semua pemain sukan golf.
"Seperti yang dikatakan, faktor usia, isu pembedahan beberapa kali di bahagian belakang, ini akan menjadi igauan panjang jika beliau memilih untuk kembali ke landasan asal, kejayaan dalam dunia golf," kata Ketua Jabatan pakar trauma ortopedik Pusat Perubatan Standford, Dr Michael Gardner.
Woods sedang memandu untuk ke rakaman televisyen di Rancho Palos Verdes, Los Angeles pada jam 7 pagi waktu tempatan sebelum kenderaan utiliti sukan yang dipandunya menjunam masuk ke dalam gaung.
Dalam laporan terbaru juga, Woods telah sedar dan memberi respon selepas prosedur pembedahan tersebut.